ISU penghinaan ke atas agama Islam dan Rasulullah SAW bukanlah baru berlaku sekali dua.
Jika umat Islam soroti episod-episod penghinaan ini, ia telah berlaku sejak sekian lama bahkan semenjak Rasulullah SAW masih hidup lagi baginda telah dihina dan disakiti.
Khutbah Jumaat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bertajuk ‘Kisah Menjadi Ibrah’, hari ini, menjelaskan Rasulullah telah menerima pelbagai tuduhan dan cercaan bahkan diancam bunuh oleh orang-orang Musyrikin dan kafir Quraisy ketika itu.
Nabi dituduh sebagai gila, ahli sihir, penyair dan bermacam-macam lagi tuduhan yang tidak masuk akal.
Namun baginda tetap sabar dan teguh melaksanakan tugas dakwahnya menyampaikan risalah Islam.
Allah SWT menurunkan Al-Quran bagi membela dan mempertahankan Rasulullah SAW dari sebarang tuduhan dan tohmahan Musyrikin.
Terlalu banyak dalil dalam al-Quran yang menunjukkan betapa Allah SWT membela dan mempertahankan Nabi Muhammad SAW.
Antaranya seperti dalam Surah al-Qalam ayat 2-4, Allah SWT berfirman: نونجمب كبر ةمعنب تنأ ام٢ نونمم يرغ ارجلَ كل نوَإِ٣ ميظع قلخ لَعل كنوَإِ ٤
Lihat pula peristiwa Allah memelihara dan melindungi Rasulullah daripada disakiti oleh Suraqah bin Malik ketika beliau cuba mengejar Nabi SAW dan juga Abu Bakar al-Siddiq dalam perjalanan mereka ke Kota Madinah.
Beberapa kali kaki kudanya tersungkur tatkala Suraqah hampir dapat menangkap Rasulullah SAW.
Akhirnya, dengan kuasa dan pertolongan Allah, terbenamlah kaki kuda Suraqah dalam pasir yang akhirnya menundukkan ego Suraqah bin Malik dan lantas menanamkan keyakinannya terhadap Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW.
Jika kita soroti kisah-kisah penghinaan ini, betapa banyaknya ibrah yang muncul dan boleh umat Islam hari ini teladani.
Meskipun Rasulullah berhadapan dengan situasi penghinaan dahsyat malah terdapat kejadian baginda dibaling batu seperti kisah di Taif, baginda tetap menunjukkan sifat kemanusiaan tinggi, limpahan kasih dan sayang kepada umatnya.
Umat Islam wajib mengambil iktibar, pengajaran dan teladan daripada sikap yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.
Lihat juga makhluk-makhluk lain seperti labah-labah dan para malaikat juga turut sama-sama mempertahankan Rasulullah SAW dari terus disakiti dan dihina.
Maka, sebagai mukmin juga wajib bersama-sama dengan ketegasan mempertahankan Rasulullah SAW dari terus dihina kerana menghina Rasulullah SAW selepas kewafatannya sama seperti menyakiti baginda ketika masih hidup.
Berdasarkan kepada dalil al-Quran, hadis dan beberapa contoh kejadian yang menimpa Rasulullah, terbukti kepada umat bahawa Allah SWT, para malaikat dan seluruh makhluk bangkit mempertahankan Rasulullah, ajaran yang dibawa oleh baginda daripada disakiti atau dicederai, dicemuh dan dihina, dan tuduhan gila atau penyair.
Umat Islam patut malu dan tercabar dengan labah-labah yang membina sarangnya di pintu gua, malaikat penjaga gunung dalam peristiwa di Taif serta batu dan pasir dalam perjalanan hijrah Rasulullah SAW.
Justeru, beberapa ibrah yang dapat daripada episod penghinaan terhadap Rasulullah ialah, perkara itu bukanlah berlaku sehari dua namun telah berlaku sejak sekian lama bahkan ketika Rasulullah SAW masih hidup.
Kedua, Allah menurunkan al-Quran kepada manusia bagi membela dan mempertahankan Rasulullah SAW dari tohmahan dan tuduhan tidak berasas orang-orang kafir.
Ketiga, sikap dan sifat Nabi yang pemaaf dan tidak mudah melenting dalam berhadapan dengan segala penentangan wajib dicontohi dan diteladani kerana Baginda jualah sebaik baik contoh teladan buat umatnya.
Keempat, umat Islam wajib bersatu hati tanpa mengira fahaman mazhab dan parti politik, warna kulit dan batas sempadan negara untuk bangkit mempertahankan Rasulullah daripada terus dicemuh dan dihina.
Bangkitlah dengan hujah dan suri teladan akhlak yang terbaik sebagai umat yang mendapat didikan baginda sepanjang zaman. – Malaysiapost