KBS arah Stadium Nasional Bukit Jalil buat forensik struktur

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) telah mengarahkan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) melantik sebuah syarikat untuk membuat penilaian termasuk forensik struktur terhadap Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ). 

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, langkah itu diambil bagi mengenal pasti aspek di stadium itu yang perlu diperbaiki sebelum tindakan seterusnya diambil KBS.

Menurutnya, selain padang, penambahbaikan juga akan meliputi fasiliti lain seperti tandas di stadium berkenaan. 

“Bangunan stadium dibina pada 90-an untuk digunakan pada Sukan Komanwel 1998, dah lama kita tak buat forensik struktur, jadi kita nak tahu apakah masih kukuh dan sebagainya, apa perlu dibuat,” katanya. 

Ahmad Faizal berkata, selepas laporan penilaian itu diterima, Lembaga Pengarah PSM akan bermesyuarat untuk menentukan fasiliti yang perlu diperbaiki sebelum perkara itu dibawa ke Kementerian Kewangan.

“Dalam masa yang sama juga, kami akan memulakan proses perolehan kerajaan kerana kami tak boleh tukar padang (tanpa kelulusan),” katanya.

Beliau menambah, rumput di di stadium itu akan ditukar dengan rumput jenis ‘Zeon Zoysia’ sama seperti yang digunakan di Stadium Sultan Ibrahim, yang dikurniakan oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Sementara itu, Ahmad Faizal menjelaskan, SNBJ tidak ditutup sepenuhnya bermula kelmarin, sebaliknya beberapa fasiliti yang tidak terlibat dengan kerja-kerja penambahbaikan seperti trek boleh digunakan buat masa ini.

“Kami sedang berbincang dengan beberapa penganjur (yang telah membuat tempahan), sebagai contoh pertukaran rumput tidak dibuat esok, jadi kalau nak buat konsert boleh. Apabila mula proses tukar rumput, ia akan ditutup sepenuhnya,” katanya.

Jelasnya, laporan kemajuan mengenai kerja-kerja baik pulih juga akan dilaporkan kepada umum dari semasa ke semasa. -Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights