Keluarga tuntut siasatan lanjut, syak kematian pengasas Dnars ada unsur lain

Keluarga tuntut siasatan lanjut, syak kematian pengasas Dnars ada unsur lain

SELEPAS tiga tahun, keluarga kepada pengasas produk kecantikan, Dnars Skincare, Faziani Rohban Ahmad menuntut polis menjalankan siasatan terperinci berhubung kematian wanita itu yang maut dalam kemalangan jalan raya di Pattani, Thailand, tiga tahun lalu.

Sehubungan itu, ahli keluarga Allahyarham Faziani membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat, semalam.

Ahli keluarga Faziani berkata, laporan itu dibuat selepas pihaknya mengesyaki ada unsur-unsur lain dalam kemalangan yang berlaku pada 18 Mei 2019 itu.

Menurutnya, ahli keluarganya telah melantik peguam untuk memperoleh maklumat berhubung kejadian tersebut selepas kematian arwah.

“Berdasarkan maklumat itu, kita dapati kematian arwah Faziani diragui dan kami mengesyaki kematiannya bukan hanya berpunca daripada kemalangan.

“Kita percaya ada unsur lain yang menyebabkan nahas itu berlaku,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah ketmengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung perkara tersebut.

Sebelum ini, media melaporkan, Faziani dan suaminya, Ahmad Shah Rizal Ibrahim, 42, sedang dalam perjalanan menuju ke beberapa pondok agama di Pattani dengan menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Estima sebelum terbabit dalam kemalangan jalan raya di sana.

Faziani meninggal dunia di lokasi kejadian manakala Ahmad Shah Rizal hanya mengalami luka pada bahagian kanan mata. – Malaysiapost

Komen