Ketiadaan Syamsul ketika Tayangan Perdana ‘Mat Kilau’, timbul tanda tanya

KETIADAAN kelibat Syamsul Yusof ketika malam Tayangan Perdana ‘Mat Kilau’ filem terbaharu arahannya malam tadi, menimbulkan tanda tanya ramai pihak. 

Majils yang diadakan di GSC, The Starling Damansara, Selangor turut dihadiri bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Ali. 

Namun, kelibat Syamsul tidak juga muncul sehingga majlis itu berakhir menyebabkan program itu berlangsung dalam suasana tidak lengkap tanpa pengarah filem tersebut. 

Sebaliknya pelakon utama iaitu Datuk Adi Putra, Beto Kushairi, Fattah Amin, Datuk Jalaluddin Hassan, Shahrudin Thamby dan Johan As’ari hadir memberi sokongan. 

Turut hadir ialah bapa Syamsul iaitu Datuk Yusof Haslam yang meluahkan rasa bangga dengan hasil kerja anaknya yang menelan belanja pembikinan lebih RM8 juta itu. 

“Sebenarnya saya pun tidak tahu dia akan datang atau tidak malam ini. Memang berharap dia akan datang.

“Penerbit juga mesti harap dia datang. Ini filem dia. Sebagai ayah saya sentiasa doakan yang terbaik. 

“Kali terakhir berjumpa Syamsul pada hari raya keempat baru-baru ini. Saya sempat ucap tahniah atas kejayaan filem ini. Saya melihat hasil kerjayanya sangat bagus,” katanya.

Bagaimanapun, kelibat pengarah ‘Munafik’ itu tidak kelihatan hingga tamat tayangan. Majlis sidang media diteruskan hanya bersama penerbit dan para pelakon yang terlibat.

Difahamkan, ini bukan kali pertama pengarah muda itu tidak hadir ke majlis berkaitan dengan dirinya setelah diheret dalam kontroversi.

Spekulasi mendakwa Syamsul membuat keputusan membatalkan hasratnya muncul di khalayak ramai kerana bimbang ‘diserbu’ susulan tersebar cerita panas kononnya dia akan berkahwin lain dalam waktu terdekat ini. 

Sementara itu, adik Syamsul iaitu Shamin Yusof berkata, abangnya mengalami demam panas dan dinasihat tidak hadir.

“Dia memang nak datang malam ini, tetapi dia demam panas. Saya nasihatkan lebih baik dia tidak datang.

“Bagaimanapun dia kata akan berusaha nak datang,” jelasnya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights