TOHMAHAN sebagai penyamun dan perompak oleh Tun Dr Mahathir Mohamed kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi adalah kerana dendam dan kebencian kepada Umno.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Mohd Razlan Rafii, berkata jika kenyataan itu demi keadilan, bagaimana Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dikaitkan dengan dana politik sebanyak RM1.3 juta tidak didakwa seperti Ahmad Zahid.
“Hari ini Datuk Seri Zahid terpaksa membuktikan diri beliau di Mahkamah, terpaksa berhadapan dengan cercaan oleh masyarakat, tapi watak yang menuduh beliau dengan pelbagai hinaan, tersenyum menjawab di media.
“Tan Sri Muhyddin diberi layanan VIP dan terlindung apabila dibenarkan menjawab di media tapi bukan di Mahkamah.
“Kepada Tun Mahathir, sekian lama rakyat tahu perangai dan tingkah laku kamu yang membenci Umno dan akan bertindak kejam terhadap Umno, hari ini, terbukti sudah, bahawa kamu melepaskan Tan Seri Muhyddin dari didakwa kerana beliau adalah sekutu kamu, bukan keadilan yang dicari, tapi dendam yang menjadi keutamaan,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Razlan berkata, sistem kehakiman negara digunakan untuk melepaskan individu yang menjadi sekutu, dan mahkamah terpaksa mengikut telunjuk demi memuaskan nafsu politik,
Katanya, Hakim yang dilantik ketika zaman Pakatan Harapan (PH) masih memegang jawatan dan situasi itu perlu diperbaiki.
“Tiada jalan mudah, kemusnahan yang dicipta bukan boleh diperbaiki dalam watu terdekat, kebangkitan secara menyeluruh oleh rakyat adalah jawapannya.
“Muhyddin mesti didakwa atas tuduhan yang sama yang dikenakan kepada Datuk Seri Zahid, salah atau tidak, ianya mesti dijawab di Mahkamah,” katanya.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu Muhyiddin turut menerima sumbangan dana politik RM1.3 juta daripada daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) pada 2018.
Bagaimanapun, Muhyiddin dalam hantaran di media sosial menafikan menerima sejumlah wang itu, selain menegaskan keterangan tersebut adalah tidak benar dan memberikan gambaran dirinya menerima wang sogokan. – Malaysiapost