Polis siasat ‘Perhimpunan Kebebasan Badan Kehakiman’

POLIS membuka satu kertas siasatan berhubung ‘Perhimpunan Untuk Kebebasan Badan Kehakiman’ anjuran Badan Peguam Malaysia di Padang Merbok, ibu negara, hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, berkata siasatan dijalankan di bawah Seksyen 15 (3),Peraturan 6 dan Peraturan 7, Akta Perhimpunan Aman 2012 dan pengawalan penyakit berjangkit 2022.

“Hasil daripada pemerhatian seramai lebih 220 orang terdiri daripada Ahli Majlis Peguam dan beberapa individu yang dikenal pasti dan belum dikenal pasti

“.. telah berhimpun mengadakan perhimpunan ‘Walk For Judicial Independence’ sambil memegang plakad dan banner bertulis ‘Jom Jalan 4 Judicial Independence, Pertahankan Kebebasan Kehakiman’,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noor Dellhan, pihaknya akan memanggil kesemua individu yang terlibat dalam perhimpunan tersebut untuk membantu siasatan.

“Kesemua individu yang terlibat di dalam perhimpunan tersebut akan dipanggil ke Ibu Pejabat polis Daerah Dang Wangi untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan dalam masa terdekat.

“Polis menasihati agar orang ramai tidak terlibat dengan apa-apa kesalahan yang melanggari undang-undang dan tindakan tegas akan diambil dibawah peruntukan undang-undang yang masih berkuat kuasa,” katanya.

Terdahulu, Presiden Majlis Peguam Malaysia, Karen Cheah Yee Lynn menyerahkan memorandum kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin, di Padang Merbok, pagi tadi.

Mas Ermieyati berkata, beliau hadir menerima memorandum itu daripada Majlis Peguam bagi pihak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perhimpunan itu telah berlangsung selama dua jam yang bermula pada pukul 9 pagi. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights