SETIAUSAHA Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan menyifatkan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mampu menyumbang kemenangan kepada parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ahmad yang turut mengakui kebolehan Tengku Zafrul, bagaimanapun menjelaskan Menteri Kewangan itu perlu berusaha lebih jika benar-benar ingin mewakili Umno pada PRU15.
Jelas Ahli Parlimen Pontian itu, menjadi hak Tengku Zafrul untuk bertapak di mana-mana kawasan, namun beliau perlu berusaha lebih dalam mendapatkan sokongan positif daripada akar umbi Umno di kawasan berkenaan serta memiliki ciri-ciri ‘wali’ yang ditetapkan parti itu.
Jelasnya, ‘wali’ itu merujuk kepada boleh memenangi (winnable), diterima (acceptable) dan disukai (likeable) yang berkaliber dan berdaya.
“Ya, kita tidak nafilah. Mereka yang ada kebolehan dan ada aset, dan mereka yang ada jawatan juga adalah aset. Kalau kita nak lihat Menteri Kewangan (Tengku Zafrul), kita juga ada bekas Menteri Kewangan. Datuk Seri Johari Abdul Ghani misalnya, jadi itu sebab saya sebut aset lama, aset baru, aset Umno ni ada ramai dan tidak ada satu aset pun yang telah diumum dapat calon di mana, bukan?
“Cuma dia kena berusaha. Saya dapat laporan yang dia nak pergi Kuala Selangor. Betulkah orang Kuala Selangor, AJK bahagian Kuala Selangor menerima? Kalau dia nak jadi wali, dia kena berusaha, dan keputusan akhir itu tentulah akan dimuktamadkan kemudian oleh pucuk pimpinan tertinggi,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad turut mengulas kenyataan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos mencadangkan Tengku Zafrul sebagai ‘poster boy’ Barisan Nasional (BN) Selangor bagi menghadapi PRU15.
“BN ada tiga proses. Proses pertama, di peringkat bahagian. Proses kedua di peringkat negeri. Proses ketiga di peringkat pusat.
“Jika tiga-tiga proses itu dipersetujui terhadap satu-satu calon ataupun majoriti daripada tiga proses itu ataupun proses yang utama pucuk pimpinan bersetuju terhadap seseorang calon, maka barulah jadi. Bagaimanapun peringkat Pusat mempunyai kuasa untuk menentukan,” katanya.
“Kenyataan dia (Jamal) itu tidak salah. Tetapi sama ada dia boleh berlaku atau tidak, tiga proses yang saya sebut tadi itu perlu dilalui oleh sesiapa pun, sama ada dia nak jadi poster boy, dia nak jadi calon, sehingga ada satu keputusan muktamad dan ada pengumuman daripada pucuk pimpinan,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan, Tengku Zafrul dikatakan mengintai peluang bertanding di Parlimen Kuala Selangor, apabila beliau dikatakan kerap ‘turun padang’ ke kawasan berkenaan sebelum ini.
Bagaimanapun, Ketua Umno Bahagian, Datuk Jahaya Ibrahim dilaporkan menghalang kepemimpinan bahagian itu daripada terbabit dengan program Tengku Zafrul di kawasan Parlimen Kuala Selangor.
Jahaya dilaporkan berkata, beliau tidak mahu jentera parti di kawasan itu dipergunakan untuk ‘mendukung’ pemimpin dari luar kawasan itu.
Sementara itu, Ahmad memaklumkan Umno masih belum memperoleh keputusan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berhubung usul pindaan Perlembagaan parti bagi membolehkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) diberi pilihan menentukan tempoh masa pemilihan parti.
“Umno juga akan mengadakan mesyuarat MKT pada 24 Jun ini, antara lain mungkin akan membincangkan mengenai status Muafakat Nasional (MN),” katanya. – Malaysiapost