‘Arwah minta rahsiakan, tidak mahu kongsi sedang sakit’ – Ani Maiyuni

PENYANYI dan pelakon Adibah Noor yang meninggal dunia lewat petang tadi telah sekian lama menderita kanser ovari tahap empat.

Perkara itu disahkan rakan seperjuangan yang juga sahabat baiknya, Ani Maiyuni menerusi satu pesanan suara.

Menerusi pesanan suara itu, Ani bagaimanapun memohon maaf kerana terpaksa merahsiakan perkara tersebut bagi menghormati permintaan Allahyarham yang tidak mahu keadaan kesihatannya dihebohkan.

“Kami terpaksa rahsiakan. Arwah sebelum ini pernah berkongsi keadaannya kepada saya dan juga beberapa orang rakan dan ahli keluarga.

 “Arwah minta kami rahsiakan. Kami tak dapat nak war-warkan bahawa dia sedang menanggung kesakitan,” katanya.

Menurut Ani, pelantun lagu Terlalu Istimewa itu juga mengambil masa yang lama untuk berehat selepas menjalani pembedahan.

Kata Ani lagi, sahabatnya itu juga sering demam dan  dimasukkan ke hospital.

“Allahyarham mula sakit selepas tamat Gegar Vaganza 8. Dia alami demam selepas penggambaran Gegar Vaganza Raya dan ditahan di wad untuk tempoh yang agak lama.

“Kami tertanya-tanya, kenapa dia masuk wad terlalu lama? Ingatkan arwah dijangkiti Covid-19. Setelah itu, barulah dia kongsikan kepada kami tentang kanser tersebut selain memaklumkan dirinya baru selesai menjalani pembedahan,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Ani berkata kemunculan Adibah baru-baru ini kelihatan lebih susut berikutan baharu selesai berehat panjang selepas menjalani pembedahan.

“Arwah selepas itu menjalani tempoh berpantang dan memberitahu mahu berehat buat sementara waktu. Gambarnya turun berat badan yang tular sebelum ini diambil ketika dia mula bekerja selepas berehat panjang,” kongsinya lagi.

Adibah telah menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 7.40 petang tadi.

Jenazah Allahyarhamah masih berada di hospital dan akan dibawa ke kediaman keluarganya di Keramat Permai, Kuala Lumpur.

Jenazah akan dikebumikan esok. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights