Harga ayam: Tubuh segera Lembaga Unggas, sekat ‘cengkaman’ kartel

Harga ayam: Tubuh segera Lembaga Unggas, sekat ‘cengkaman’ kartel

PEMUDA Umno menggesa kerajaan segera menubuhkan Lembaga Unggas bagi mengawal penguasaan kartel dalam industri ternakan ayam.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata penubuhan badan itu bukan sahaja bagi menentukan harga yang berpatutan tetapi memperhalusi secara menyeluruh aspek rantaian industri termasuk pengeluaran, penternakan, dedak termasuk harga ayam di pasaran.

Justeru, tegasnya, harga ayam tidak wajar ditentukan oleh kartel kerana mereka boleh memanipulasi harga dan bekalan pada bila-bila masa.

“Keadaan itu berlaku apabila pasaran bukan lagi bersifat kompetitif dan ‘padang yang tidak sama rata’,” katanya menerusi Facebook.

Ekoran itu, Asyraf Wajdi berkata, ramai peniaga di pasar kini terpaksa mengenakan pelbagai bentuk caj tambahan kepada pelanggan.

“Iaitu seperti upah membersih ayam, upah potong dan lain-lain kerana harga ayam yang mereka terima dari pengedar dan penternak juga sudah mahal.

“Serta bagi mengelakkan mereka dikenakan tindakan oleh penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang menetapkan harga siling,” katanya.

Semalam, media melaporkan, menerusi Persekutuan Persatuan-persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), mendakwa harga sekilogram ayam dijangka melebihi RM10 selepas berakhirnya skim harga maksimum runcit ayam dan pemberian subsidi kepada penternak pada 30 Jun ini.

Penasihatnya, Jeffery Ng Choon Ngee, berkata, penamatan kedua-dua insentif daripada kerajaan itu, sekali gus menyebabkan kos keseluruhan ditanggung penternak meningkat melebihi RM7 sekilogram, selaras dengan peningkatan harga makanan ayam. – Malaysiapost

Komen