Henti nilai kedudukan sekolah guna keputusan peperiksaan – Noor Azlan

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) digesa berhenti menilai kedudukan sekolah menggunakan keputusan peperiksaan kerana tindakan itu jauh tersasar daripada tujuan utama persekolahan.

Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali, berkata perkara itu ternyata mengelirukan dan menghantar isyarat salah kepada seluruh negara kerana persekolahan bukan diukur dengan peperiksaan.

“Kementerian Pendidikan mesti kekal fokus untuk mendidik. Semua sekolah mesti berupaya mendidik dengan baik. Semua murid adalah permata. Gilap setiap murid dengan didikan yang terbaik.

“Hargai semua murid yang dididik. Sebaiknya kita mesti lebih berbincang mengenai sekolah yang perlu dipertingkatkan kualiti pendidikan yang diberi. Berubahlah KPM,” katanya dalam hantaran Facebook.

Noor Azlan berkata, pihak MINDA-UKM sedia berbincang dengan KPM bagi penambahbaikan perkara tersebut.

Sementara itu, beliau turut mempersoalkan status Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 selepas sembilan tahun dilaksanakan.

“Apa status 11 Anjakan? Bagaimana dengan lima Aspirasi Sistem Pendidikan? Adakah enam Aspirasi Murid ini telah berjaya dihasilkan?

“Keputusan peperiksaan semata-mata tidak menterjemahkan kejayaan 6 Aspirasi Murid-Pengetahuan, Kemahiran Berfikir, Kemahiran Memimpin, Kemahiran Dwibahasa, Etika, & Kerohanian, dan Identiti Nasional?,” soalnya.

PPPM yang dilancarkan 6 September 2013 adalah cetusan ilham Tan Sri Muhyiddin Yassin, merangkap Menteri Pendidikan ketika itu.

Ia mengandungi lima aspirasi sistem dan enam ciri murid yang akan dicapai dalam tempoh 13 tahun, bermula dari 2013 hingga 2025.

PPPM merupakan manifestasi transformasi kerajaan yang paling menyeluruh dan besar bagi murid dari pra sekolah hingga ke pusat pengajian tinggi, dalam mendatangkan pulangan terbaik modal insan untuk memacu segala hasrat pembangunan negara. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights