Israel lancar serangan udara ke arah Gaza

PEJUANG Palestin melancarkan roket ke selatan Israel sehingga mengundang serangan balas dari udara, menurut tentera rejim Yahudi itu.

Bagaimanapun, tiada laporan berlaku kemalangan jiwa sama ada di Gaza atau Israel yang menangkis serangan roket yang ditujukan ke arah bandar Ashkelon.

Israel mendakwa, serangan itu dilakukan oleh Hamas yang mengawal Gaza dan setakat ini tiada respon daripada Hamas atau mana-mana pihak yang mengaku bertanggungjawab.

“Sebagai tindak balas terhadap serangan itu, pesawat Pasukan Pertahanan Israel (IDF) melancarkan beberapa serangan ke atas Semenanjung Gaza,” menurut tentera Israel dalam satu kenyataan.

Keadaan di Israel-Gaza aman sejak Mei tahun lalu selepas berlaku pertempuran antara kedua-dua pihak dalam perang 11 hari.

Biarpun berlaku berbalas tembakan di sempadan, kejadian itu tidak memberi isyarat ia akan memuncak, namun keganasan terus berlaku di Tebing Barat dan Israel kebelakangan ini.

Jumaat lalu, tentera Israel membunuh tiga rakyat Palestin bersenjata di Jenin, lokasi di mana tentera meningkatkan serbuan di bandar itu selepas mendakwa individu di situ melakukan serangan di beberapa lokasi di Israel.

Hamas pula memaklumkan, seorang daripada yang terbunuh adalah anggotanya, manakala bakinya ahli kepada beberapa kumpulan pejuang lain.

Usaha Amerika Syarikat (AS) melakukan rundingan keamanan bagi menubuhkan negara Palestin di timur Baitulmaqdis, Tebing Barat dan Gaza tidak berhasil pada 2014 dan sejak itu tiada sebarang usaha untuk merealisasikannya.

Presiden Joe Biden dijangka bertemu pemimpin Israel dan Palestin dalam lawatannya ke wilayah berkenaan bulan depan. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights