‘Kalau sudah tahu, mengapa SPRM tidak siasat Muhyiddin?’ – Shahrir Samad

VETERAN Umno, Tan Sri Shahrir Samad mempersoalkan mengapa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak bertindak menyiasat Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung sumbangan dana politik RM1.3 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB).

Shahrir berkata, beliau pasti SPRM mengetahui kandungan dalam ‘pen drive’ milik saksi, termasuk sudah meneliti bahan bukti penting tersebut untuk siasatan berhubung kes rasuah membabitkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Pastinya SPRM telahpun mengetahui kandungan dalam ‘pen drive’ milik saksi. Siasatan SPRM tentunya sudah meneliti bahan bukti saksi sepenting itu dari syarikat UKSB, iaitu pihak pemberi.

“Jadi kalau SPRM dah tahu, tentunya pihak Jabatan Peguam Negara (AG) pun sudah tahu.

“Kalau badan penyiasat dan badan pendakwaan dah tahu apa yang dinyatakan saksi dalam perbicaraan adalah dalam pengetahuan kedua-dua badan itu ketika membuat keputusan untuk mengheret Zahid ke mahkamah,” katanya menerusi Facebook.

Justeru, katanya, apa yang dinyatakan saksi pendakwaan dalam kes tu adalah sesuatu yang bukan di luar jangka.

“Ketika itu wakil-wakil Pakatan Harapan (PH) yang menguasai kedua-dua badan – SPRM dan AG – dan mereka tahu bahan bukti itu akan membabit Muhyiddin dan beberapa pemimpin politik yang berkenaan,” katanya.

Sehubungan itu, Shahrir mempersoalkan mengapa SPRM tidak boleh bertindak dengan pantas sepertimana dilakukan dalam siasatan terhadap Ketua Pegawai Eksekutif Astro Malaysia Holdings Bhd, Datuk Rohana Rozhan.

“Kalau kenyataan saksi dalam mahkamah Amerika Syarikat tentang pemberian wang oleh Tim Leisnner kepada Rohana mengerakkan SPRM untuk menyiasat Rohana, mengapa pula SPRM tidak bertindak sama pantas atas bahan bukti yang sudah diketahui hasil siasatannya sendiri.

“Kalau bukan Muhyiddin yang didakwa menjadi sebab, begitu jugalah bukan Rohana yang menjadi tertuduh dalam mahkamah Amerika Syarikat,” katanya.

Semalam, Mahkamah Tinggi diberitahu bekas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menerima sumbangan dana politik RM1.3 juta daripada UKSB pada 2018.

Selain Muhyiddin, lima nama ahli politik disebut ketika perbicaraan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi iaitu Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Anifah Aman. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights