Maritim Malaysia agih 30 bot pemintas, kukuh operasi penguatkuasaan
AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) akan mengagihkan 30 bot jenis Rigid Hull Fender Boat (RHFB) Kelas Perkasa bernilai RM46.5 juta yang diterimanya mengikut keperluan tugas dan operasi di setiap negeri.
Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim, Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, bot pemintas itu akan memperkukuhkan pengoperasian penguatkuasaan dan operasi mencari dan menyelamat (carilamat) di sepanjang perairan Semenanjung Malaysia.
Menurutnya, sebanyak 27 bot telah diagihkan kepada beberapa Maritim Semenanjung Malaysia.
“Iaitu tujuh bot di Maritim Johor, dua bot Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, dua bot Maritim Selangor, tiga bot Maritim Perak dan dua bot Maritim Pulau Pinang.
“Tarmasuk enam bot Maritim Kedah dan Perlis, dua bot Maritim Pahang, satu bot Maritim Terengganu, dua bot Maritim Kelantan.
“Manakala baki tiga bot akan diterima pada Ogos ini (dua bot untuk Maritim Terengganu dan 1 bot untuk Maritim Kelantan),” katanya.
Mohd Zubil berkata, keutamaan agihan bot pemintas ini diberikan kepada Maritim Negeri yang terdedah kepada ancaman aktiviti jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan migran, dadah dan sebagainya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan 30 unit bot pemintas berkenaan memiliki ukuran panjang 12 meter, dengan tiga enjin berkapasiti 350 kuasa kuda setiap satu dan boleh mencapai kelajuan maksimum sehingga 48 knot.
Katanya, bot ini memiliki reka bentuk yang stabil dan mudah dikendalikan selain memiliki platform persenjataan untuk kegunaan anggota menggendalikan senjata ketika di atas bot.
“Bot pemintas ini dinamakan sebagai ‘Kelas Perkasa’ selaras dengan perolehan aset baharu ini berikutan keperluan bagi memperkasakan penguatkuasaan sedia ada,” katanya.
Beliau berkata, sejak Januari hingga 10 Jun lalu, Maritim Malaysia telah melakukan 442 tangkapan atas pelbagai kesalahan.
Katanya, ia melibatkan pencerobohan bot nelayan asing, penyeludupan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), penyeludupan kontraband dan barang kawalan, Akta MSO dan lain-lain dengan jumlah nilai rampasan dianggarkan bernilai lebih RM 55.8 juta.
“Maritim Malaysia akan terus meningkatkan kawalan keselamatan dan penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan kapal-kapal dalam perairan negara sentiasa terjamin,” katanya. – Malaysiapost