Puteri Sarah mahu fokus jaga anak sakit, enggan ambil peduli isu bakal ‘diduakan’

ANAK sulung pasangan selebriti, Syamsul Yusof dan Puteri Sarah, Syaikhul Islam, 5, masih menerima rawatan di wad sebuah pusat perubatan di Petaling Jaya akibat dijangkiti Acute Tonsillitis atau gejala akut tonsilitis.

Menerusi hantaran di Instagram, Puteri Sarah, 37, atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, turut meluahkan rasa sedih melihat keadaan anaknya.

Puteri Sarah berkata, anaknya kini sudah tiga hari berada di hospital, sejak Khamis lalu dan Syaikhul masih mengalami demam dan sakit tekak sekali gus susah untuk dirinya meminum susu.

“Hari ketiga. ‘Seeing this little boy like this makes my heart so sad’. Masih badan panas dan sakit tekak.

“Syaikhul nak sangat minum susu tapi tak boleh. Sedih mama dengar Syaikhul tanya kenapa syaikhul sakit,” katanya.

Dalam masa sama, Puteri Sarah juga mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan kesembuhan buat anaknya termasuk ahli keluarga dan ibu bapa mertuanya.

“Terima kasih juga pada semua yang mendoakan Syaikhul Islam. Budi baik anda semua hanya Allah yang boleh membalas,” tulisnya.

Sementara itu, memetik laporan Berita Harian hari ini, rumahtangga Puteri Sarah dan Syamsul diibaratkan umpama ‘telor dihujung tanduk’.

Pergolakan rumah tangga Puteri Sarah dan Syamsul memasuki episod baharu apabila pengarah tersohor itu dilaporkan bakal melamar gadis yang juga anak kepada pelakon veteran, didakwa orang ketiga dalam keruntuhan rumah tangga mereka.

Diminta mengulas spekulasi Syamsul bakal menduakannya, Puteri Sarah enggan ambil peduli.

“Saya tak nak fikir apa-apa. Rasanya tak perlu saya ulas mengenai isu ini. Hati saya tenang-tenang sahaja sekembali mengerjakan umrah, bulan lalu.

“Buat masa sekarang, keutamaan saya adalah anak-anak. Sekarang, Syaikhul Islam, 5, dan Sumayyah, 3, sedang sakit,” katanya.

“Kisah Syamsul nak kahwin lagi, biarlah… Saya tak kuasa ambil kisah,” katanya ringkas.

Sebelum ini, media melaporkan Syaikhul dimasukkan ke hospital akibat demam panas sebelum disahkan dijangkiti Acute Tonsillitis atau gejala akut tonsilitis.

Selain itu, anak keduanya, Summayah, 3, juga berkemungkinan terkena jangkitan sama kerana menunjukkan gejala sama iaitu demam, selesema, sukar bernafas dan sakit tekak. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights