‘Salah ke kerajaan beri sesuatu secara percuma kepada rakyat’ – soal Ka Siong

MENTERI Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata langkah kerajaan menawarkan tambang pengangkutan awam percuma kepada orang ramai bukan pertama kali dilaksanakan.

Beliau berkata, inisiatif sama pernah diberikan kerajaan kepada rakyat ketika pelancaran Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Kajang Fasa Satu dan Dua sebelum ini.

Sehubungan itu, beliau menyelar kenyataan Presiden GERAKAN, Datuk Dominic Lau Hoe Chai yang sebelum ini mendakwa kerajaan memberi ‘ubat yang salah’ kepada rakyat susulan langkah berkenaan.

“Sejak akhir-akhir ini Dominic Lau sering mengeluarkan kenyataan mengarut dan tiada asas seolah mahu menarik perhatian.

“Salah ke untuk memberi sesuatu secara percuma kepada rakyat? Tak kan Dominic Lau mahu kerajaan hari ini minta rakyat ‘ikat perut’?

“Saya rasa beliau tidak makan ubat semasa keluarkan kenyataan semalam. Nah saya beri kamu ubat,” katanya menerusi hantaran video di Facebooknya.

Dalam pada itu, Ka Siong berkata, isu Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya juga telah dijelaskan kepada umum dalam sidang media bersama Kementerian Pengangkutan dan Prasarana pada 25 Mei lalu.

“Telah dijelaskan bahawa beberapa set tren sedang menjalani penyelenggaraan kerana komponen sistem brek dan masalah angkup brek,” katanya.

Beliau berkata, langkah itu diambil bagi memastikan keselamatan orang ramai terjamin semasa menggunakan kemudahan tersebut.

“Adakah kamu (Dominic) tidak kisah jika ada apa-apa buruk berlaku kepada penumpang (jika isu itu tidak diselesaikan)?

“Jika kita tidak menyelesaikan masalah itu sekarang, maka bilakah kita harus melakukannya?” katanya.

Justeru, katanya, beberapa langkah jangka pendek dilaksanakan bagi mengatasi isu kesesakan di stesen tertentu susulan kekerapan tren yang lebih rendah.

“Antaranya, penambahan kakitangan operasi serta polis bantuan di beberapa stesen yang mengalami kesesakan luar biasa seperti LRT Pasar Seni dan di MRT.

“Duta RapidRail turut berada di stesen-stesen tersebut untuk membantu penumpang-penumpang perjalanan dengan selamat,” katanya.

Terdahulu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan semua pengangkutan awam kendalian RapidKL akan ditawarkan secara percuma selama sebulan, mulai 16 Jun lalu.

Perdana Menteri berkata, pemberian perkhidmatan percuma MRT, LRT, Bas Rapid Transit (BRT) serta bas RapidKL itu dibuat sempena pembukaan rasmi MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights