Apabila miskin, kita jadi lemah – Tun M

SIKAP orang Melayu yang lebih sanggup menunggu imbuhan atau bantuan daripada orang lain atau kerajaan berbanding berusaha dan merebut peluang disediakan antara punca kaum itu terus berada dalam kemiskinan.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata sikap itulah yang perlu dikaji bagi menangani masalah kemiskinan tegar di kalangan orang Melayu.

“Apabila kita miskin kita jadi lemah..apabila kita lemah kita akan dikuasai oleh orang yang kuat..orang yang tak miskin.

“Ini secara umum berlaku apabila berlaku kemiskinan, bukan sahaja individu. tetapi apabila kumpulan atau bangsa itu miskin maka mereka akan dijajah secara langsung atau tidak langsung.

“Sebab itu usaha untuk mengatasi masalah kemiskinan ini amat penting. Kalau kita miskin suatu hari nanti negara kita juga akan dijual kerana kita miskin,” katanya dalam Forum Kemiskinan Rakyat Malaysia Pasca Pandemik anjuran Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) di Anjung Melayu, Jalan Bukit Petaling, hari ini.

Beliau berkata, secara umumnya kemiskinan tegar terdapat lebih dikalangan kaum Melayu daripada kaum lain di Malaysia dan ia bermakna kaum Melayu miskin.

“Apabila kita miskin kita jadi lemah, apabila lemah kita bergantung kepada belas kasihan kerajaan umpamanya atau pihak penderma dan sebagainya.

“Kalau tidak ada bantuan daripada mereka kita akan menghadapi masalah kehidupan. Bahkan diwaktu pandemik kita dapati ada orang yang tidak dapat makan pun. Kerana mereka miskin dan tidak dapat mengatasi masalah sekatan yang terpaksa diadakan di masa pandemik.

“Di masa lain juga mereka menghadapi masalah kebuluran kerana mereka tidak mempunyai kebolehan untuk hidup sempurna seperti pihak lain,” katanya.

Dr Mahathir berkata, sebab itu kemiskinan dalam masyarakat perlu diatasi oleh masyarakat, namun untuk mengatasinya juga kepada individu yang miskin itu sendiri iaitu tindak balas mereka.

“Kalau mereka tidak bertindak balas dengan baik, walaupun masyarakat atau kerajaan mencuba untuk mengatasi kemiskinan mereka ini, ia tidak dapat dijayakan.

“Sebab itu tindak balas kita amat penting. Cara kita terima segala bantuan atau peluang yang diwujudkan untuk mengatasi kemiskinan kita,” katanya.

Beliau berkata, budaya atau sikap adalah perkara yang penting sama ada kita mencari jalan yang mudah atau jalan lebih sukar dilaksanakan tetapi memberi hasil yang banyak.

“Kalau nak jadi kaya tiada jalan lain melainkan masuk dalam bidang perniagaan. Orang yang masuk dalam bidang perniagaan boleh jadi kaya sampai menjadi jutawan, bilionair dan sebagainya.

“Kalau kita makan gaji, jarang sekali boleh dapat pendapatan yang lebih seperti eksekutif yang gaji sehingga RM180,000 sebulan, namun peluang sebesar itu tidak banyak,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights