Jenazah Adibah Noor selamat dikebumikan

JENAZAH penyanyi dan pelakon terkenal, Allahyarham Adibah Noor Mohamed Omar selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU2, Taman Keramat, Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu jenazah Allahyarham telah dimandi, dikafan dan disolatkan di Masjid Al-Ansar, Taman Keramat.

Selain bapa Allahyarham Adibah iaitu Mohd Omar Zainal Abidin, 89, ahli keluarga dan sanak-saudara, pengebumian itu turut dihadiri Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil.

Rakan selebriti yang hadir memberi penghormatan terakhir adalah Datuk M. Nasir, Datuk Afdlin Shauki, Datuk Hans Isaac, Nikki Palikat, Remy Ishak, Erul Samah, Sharifah Amani, Linda Onn, Suki Low dan ramai lagi.

Malam tadi, Allahyarham Adibah atau nama sebenar, Adibah Noor Mohd Omar menghembuskan nafas terakhir di Hospital Gleneagles, Jalan Ampang, di sini, dipercayai akibat penyakit kanser ovari tahap empat, pada jam 7.30 malam.

Allahyarham berusia 51 tahun.

Sebelum ini, media melaporkan penampilan pelantun lagu Terlalu Istimewa itu menjadi perbualan netizen apabila gambar terbarunya menunjukkan tubuhnya semakin susut.

Bagaimanapun, tidak dinyatakan dia menghadapi sebarang penyakit, hanya kelihatan susut setelah nekad untuk lebih menjaga tahap kesihatannya sejak lebih dua bulan lalu memandangkan usia semakin meningkat.

Kemunculan awal Adibah di layar perak bermula pada tahun 2005 menerusi naskhah seperti Sepet, Gubra dan Mukhsin karya sutradara Allahyarham Yasmin Ahmad.

Sejak dari situ, beliau mula membuat kemunculan dalam puluhan drama televisyen dan filem tempatan.

Menerusi karier nyanyian, Adibah pernah merakamkan dua buah album studio iaitu Terlalu Istimewa (2005) dan Teman (2010).

Lagu Terlalu istimewa pernah dijulang sebagai Anugerah Juara Lagu ke-21 (AJL21) pada 2007. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights