KKM anjur PICKids sempena Sambutan Minggu Imunisasi

SEMPENA Sambutan Minggu Imunisasi Peringkat Kebangsaan Tahun 2022, pada Khamis lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengadakan Program Inunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) selama lima hari mulai esok hingga 24 Jun ini.

Timbalan Menteri Kesihatan 1 Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata pembukaan vaksinasi bagi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun itu bertujuan meraikan ibu bapa yang kini berhasrat mendapatkan vaksin Covid-19 untuk anak-anak yang terlepas peluang sebelum ini.

Menurutnya, ia juga adalah keprihatinan KKM atas keselamatan kanak-kanak daripada penyakit cegahan vaksin.

“Ibu bapa yang berhasrat mendapatkan vaksinasi ini bolehlah mendapatkan vaksinasi tanp janji temu di klinik-klinik Kesihatan di bawah KKM bagi tempoh yang dinyatakan.

“Ibu bapa boleh membawa anak mereka ke klinik kesihatan KKM bermula 20 hingga 24 Jun ini. Pemberian adalah berdasarkan stok vaksin di sesebuah fasiliti pada hari tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sekiranya stok vaksin untuk hari tersebut habis, ibu bapa perlu membawa anak mereka keesokkan harinya.

Menurutnya, ibu bapa yang baru mengetahui mengenai vaksinasi Covid-19 atau baru membuat keputusan membenarkan anak divaksinasi digalakkan mengambil peluang ini.

“Bagi kanak-kanak yang akan mencapai umur lima tahun, ibu bapa masih boleh membuat tempahan janji temu vaksinasi mengikut tarikh dan tempat vaksinasi pilihan melalui aplikasi MySejahtera,” katanya.

Pemberian vaksin Covid-19 untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun menerusi PICKids secara percuma sebelum ini ditamatkan pada 31 Mei lalu.

Bermula 1 Jun, kerajaan tidak lagi memberi suntikan pelalian itu kepada golongan tersebut, sebaliknya perlu mendapatkannya di klinik swasta secara berbayar.

Pengecualian diberikan kepada kanak-kanak yang terpaksa membatalkan janji temu sebelum atau pada 31 Mei 2022 akibat jangkitan Covid-19. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights