SEBAGAI persediaan transisi negara dari pandemik ke endemik, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mempergiatkan usaha memperkasakan komuniti melalui Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS).
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata langkah itu bagi melakukan perubahan tingkah laku kesihatan ke arah pembudayaan cara hidup sihat.
Menurutnya, bidang ilmu sains tingkah laku memainkan peranan penting untuk merubah gaya hidup masyarakat, sekaligus sebagai barisan pertahanan pertama dalam melindungi sistem kesihatan negara.
“Tinjauan Kebangsaan Kesihatan & Morbiditi (NHMS) 2019 telah pun mendedahkan bahawa di kalangan penduduk dewasa berumur 18 tahun ke atas di Malaysia, ramai yang tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi akibat menghidap penyakit tidak berjangkit (NCD).
“Tahap kesihatan sedia ada yang rendah ini selanjutnya mendedahkan golongan tersebut kepada risiko tahap jangkitan yang teruk dan kematian,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau berkongsi ucaptamanya yang bertajuk ‘Covid-19: Pandemik ke Endemik: Apakah Jangkaannya’ pada Persidangan Antarabangsa Kor Siswa Siswi (SISPA) Pertahanan Awam Kali Pertama Tahun 2022, hari ini.
Menurutnya, persidangan anjuran Kor SISPA Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) itu kini sedang berlangsung dari 17 hingga 19 Jun 2022 di Pusat [email protected], UKM.
Dr Noor Hisham berkata, antara perkara yang disentuh di dalam ucaptamanya adalah bagaimana pandemik Covid-19 telah memberikan kesan yang amat signifikan kepada warga emas dan golongan yang menghidap penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti tekanan darah tinggi, diabetes dan penyakit berkaitan kardiovaskular.
“Sebanyak 75 peratus daripada kematian Covid-19 adalah di kalangan warga emas, manakala 87 peratus adalah di kalangan mereka yang menghidap sekurang-kurangnya satu jenis penyakit tidak berjangkit,” katanya.
Beliau berkata, tahap kesihatan rakyat tidak akan berubah tanpa pemahaman yang jelas tentang tingkah laku berkaitan kesihatan manusia.
Menurutnya, selain mempergiatkan ANMS, program Saringan Kesihatan Nasional juga akan dilancarkan pada Julai 2022 di mana KKM menyasarkan 1.5 juta orang berumur 40 tahun ke atas yang tidak pernah menjalani saringan kesihatan sebelum ini.
“Golongan berkenaan akan diberikan pemeriksaan kesihatan percuma, termasuk ujian darah dalam najis (FOCB) untuk kanser kolorektum dan saringan kanser payudara di klinik awam dan swasta.
“Semoga segala usaha ini mendapat sokongan dan kerjasama semua pihak, agar kita sebagai sebuah negara mempunyai rakyat yang lebih sihat, jangka hayat yang lebih lama dan berterusan produktif,” katanya. – Malaysiapost