Mohd Rashid yakin Bersatu mampu jadi tunjang perubahan negara

Mohd Rashid yakin Bersatu mampu jadi tunjang perubahan negara

AHLI Parlimen Batu Pahat Datuk Mohd Rashid Hasnon menyifatkan desas-desus mengatakan dirinya dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, akan keluar Bersatu adalah propaganda murahan.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu, berkata adalah mustahil beliau dan Ahli Parlimen Gombak berkenaan meninggalkan Bersatu.

“Berhentilah mengadu domba dengan propaganda murahan untuk melemahkan Bersatu.

“Serangan berita palsu seperti ini jelas menunjukkan ada pihak tertentu yang ketandusan isu cuba untuk memberikan tekanan dengan memberi persepsi negatif yang kononnya boleh melemahkan Bersatu.

“Moga Allah SWT menjauhkan kita semua dari sebarang bentuk fitnah seperti ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau tampil menafikan khabar angin yang mendakwa antara pemimpin yang bakal mengikut jejak Ahli Parlimen Ampang Datuk Zuraida Kamarudin yang meninggalkan Bersatu baru-baru ini.

Mohd Rashid turut menjelaskan hubungannya dengan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah baik dan mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada pucuk pimpinan itu yang menyatakan keyakinan terhadap dirinya.

“Hanya beberapa jam sebelum tersebar berita palsu itu, saya bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin di satu program dan sidang media di Johor.

“Sekalung penghargaan dan jutaan terima kasih di atas respon dan keyakinan Presiden berkaitan isu ini,” katanya.

Menurutnya, sejak hari pertama bersama Bersatu beliau yakin dengan masa depan parti dan akan terus bersama dengan saf kepimpinan parti.

“Walaupun Bersatu sebuah parti politik yang masih muda, dengan komitmen berterusan saya percaya agenda penyatuan rakyat, melayu dan bumiputera ini bakal membawa manfaat besar dalam usaha membawa perubahan kepada negara dan rakyat keseluruhannya.

“Rakyat, orang melayu dan bumiputera pada hari ini semakin matang dalam menilai, mereka jijik dengan penyalahgunaan kuasa dan rasuah. Seiring dengan agenda parti, Bersatu akan menjadi platform terbaik buat mereka,” katanya. – Malaysiapost

Komen