Negaraku mungkin bukan negaraku lagi, kalau Melayu terus miskin – Tun M

JARAK kemiskinan yang terlalu jauh antara kaum kebiasaannya akan mengakibatkan berlakunya rusuhan, tegas bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurutnya, keadaan itulah yang berlaku pada tahun 1969 di Malaysia yang sebenarnya berpunca daripada jarak antara miskin dan kaya antara kaum Melayu dan kaum lain selepas negara mendapat kemerdekaan.

Beliau berkata, sebelum kemerdekaan pihak British tidak membenarkan orang tempatan berniaga secara besar-besaran dan tidak memberi lesen bank kepada orang tempatan atau segala perniagaan besar seperti estet dan ladang getah.

“Tetapi selepas merdeka kerajaan memansuhkan semua sekatan oleh British dan orang tempatan boleh ceburi semua jenis perniagaan termasuk perbankan, import dan eksport serta perladangan.

“Tetapi malang orang Melayu tidak mengambil peluang ini, sebaliknya orang lain khususnya orang Cina nampak peluang itu dan merebutnya hingga mereka mencapai kejayaan yang besar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Forum Kemiskinan Rakyat Malaysia Pasca Pandemik dianjurkan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) di Anjung Melayu, Jalan Bukit Petaling, hari ini.

Dr Mahathir berkata, keadaan itu menyebabkan jarak antara miskin dan kaya disamakan dengan jarak antara Melayu dengan Cina.

“Sebab itulah pada 1969 berlaku rusuhan kerana orang Melayu berasa kecewa kemerdekaan tidak memberi keuntungan apa-apa kepada mereka, sebaliknya orang Cina yang menjadi lebih kaya dengan dasar yang diamalkan oleh kerajaan yang sebenarnya dikuasai Melayu. Inilah yang berlaku,” katanya.

Beliau berkata, apa yang berlaku itu menjadi pengajaran dan sebab itulah usaha mengatasi kemiskinan di kalangan orang Melayu menjadi penting.
“Semua ini menjadi pengajaran kepada kita. Apakah kita nak terus miskin dengan cara kita? Atau kita nak perkayakan diri kita?

“Saya yakin kalau kita terus miskin kita akan terus menjadi lemah, tidak dapat pertahankan harta kita dan harta kita akan dimiliki oleh pihak yang kaya, cergas dan aktif. Negaraku mungkin bukan negaraku lagi,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights