PAS sekali lagi menegaskan pihak mereka menolak cadangan untuk bergabung dalam ‘khemah besar’, sebaliknya mahu memberi tumpuan kepada agenda penyatuan ummah bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Naib Presidennya Datuk Mohd Amar Abdullah, berkata cadangan khemah besar itu timbul bagi menghadapi PRU-15, sekaligus sebagai usaha konsolidasi undi rakyat kepada parti-parti yang bersekutu.
“Namun Pas menolak idea itu dan fokus agenda penyatuan ummah, kerana prinsip Pas dalam seruan penyatuan ummah adalah jelas.
“Pas berdiri teguh dengan prinsip kerjasama politik yang menguatkan dahulu umat Islam dalam masa sama berdiri dalam satu perikatan dengan parti bukan Islam yang tidak ekstrem dan menjulang prinsip Perlembagaan Persekutuan.
“Dengan itu, Pas tidak akan berhenti menyeru seluruh parti Melayu Islam baik Umno dan Bersatu untuk bersama-sama dalam membina semula negara dan memperkukuhkan umat Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Amar berkata, Pas juga kini telah menggerakkan usaha memperkenalkan budaya politik matang dan sejahtera (BPMS).
“Ia sebagai salah satu usaha menterjemahkan solusi politik Islam dalam mendepani cabaran.
“Justeru, Pas meneruskan agenda ini menerusi seruan penyatuan ummah rentas ideologi dan parti politik,” katanya.
Beliau berkata, rakyat pasti tidak akan lupa dengan sejarah hitam 22 bulan negara di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang telah menzahirkan realiti golongan yang cuba menggugat status quo negara serta prinsip asas tunjang negara.
“Oleh itu, prinsip Pas sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Pas adalah jelas. Islam yang paling utama.
“Jadi, bagi menghadapi rejim PH ketika 2018-2019 lalu, Pas telah menggerakkan usaha muafakat ummah dengan parti Melayu seperti Umno dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain sebagai ikhtiar menguatkan akar politik Melayu Islam yang semakin goyah.
“Namun, pada masa yang sama, Pas menggerakkan usaha undi percaya kepada Perdana Menteri ketujuh di saat kedudukan beliau diganggu gugat. Semua ini tidak lain dan tidak bukan adalah demi Islam dan prinsip kestabilan kerajaan yang dipegang Pas,” katanya Malaysiapost