Penyelenggaraan pengangkutan awam negara perlu lebih cekap – Ahmad Zahid

KERAJAAN disyorkan agar memastikan bukan sahaja usaha memperluas infrastruktur pengangkutan awam sentiasa dilaksanakan, usaha untuk menyelenggara juga haruslah berjalan seiring dan diberikan perhatian sewajarnya.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata penyelenggaraan perlu dilakukan dengan lebih cekap bagi menangani isu-isu asasi mengenai sistem pengangkutan awam negara.

Menurutnya, sehubungan itu pihak yang berkaitan boleh mewujudkan mekanisme bagaimana syarikat mahupun kontraktor penyelenggara yang dilantik dapat memenuhi kewajiban mereka mengikut masa dan spesifikasi yang ditetapkan.

“Kebelakangan ini, warga Lembah Klang sering mengalami ketidakcekapan sistem pengangkutan awam, terutama sekali bagi perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) .

“Selain itu, beberapa perkhidmatan seperti mesin tiket yang sering sekali offline dan tangga bergerak yang rosak dan lambat diselenggara pula menyusahkan para pengguna terutama sekali warga emas dan wanita mengandung,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau berkata, sistem pengangkutan awam negara, terutama sekali yang berada di Lembah Klang amat kritikal kepada denyut nadi penduduk setempat dan penggunanya. Ia juga merupakan elemen utama untuk menggerakkan ekonomi negara.

Katanya, purata pengguna LRT dan pengangkutan awam lain di sekitar Lembah Klang pula adalah mereka dari golongan M40 dan B40.

“Mereka amat bergantung kepada kecekapan pengangkutan awam bagi menjimatkan kos sara hidup seharian.

“Mereka tidak mahu bergantung sepenuhnya kepada kereta dan kenderaan bermotor lain dan mahu mengoptimumkan penggunaan pengangkutan awam dalam kehidupan seharian,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, namun begitu, amatlah mengecewakan apabila, infrastruktur pengangkutan awam yang sedia ada di Lembah Klang, kebelakangan ini kelihatan kurang diselenggara dengan baik.

“Oleh itu, saya ingin mengesyorkan kepada Kerajaan Persekutuan, terutama sekali kepada kementerian dan pihak berkaitan agar memastikan bukan sahaja usaha memperluas infrastruktur pengangkutan awam sentiasa dilaksanakan, usaha untuk menyelenggara juga haruslah berjalan seiring dan diberikan perhatian sewajarnya.

“Pihak berkenaan boleh mewujudkan mekanisme bagaimana syarikat mahupun kontraktor penyelenggara yang dilantik dapat memenuhi kewajiban mereka mengikut masa dan spesifikasi yang ditetapkan.

“Kita tidak mahu isu-isu asasi seperti kecekapan pengangkutan awam dan kurangnya penyelenggaraan mengatasi cerita-cerita kejayaan Transit Aliran Massa (MRT), LRT dan lain-lain sistem pengangkutan awam negara,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights