Umno wajar ceraikan Pas dengan talak tiga – Veteran Umno

VETERAN Umno mendesak pucuk pimpinan parti agar membubarkan Muafakat Nasional (MN) dengan rasminya secepat mungkin, supaya Umno tidak terus menjadi bahan ejekan Pas.

Setiausaha Veteran Umno Malaysia Datuk Mustapha Yaakub, berkata sikap ‘berdiam diri’ Umno berhubung isu MN tidak menguntungkan parti.

Menurutnya, Veteran Umno sudah beberapa kali menyuarakan cadangan supaya MN dibubarkan dengan rasminya.

“Membiarkan MN ‘digantung tidak bertali’ menyebabkan nama Umno menjadi bahan ejekan Pas yang menghina Umno sedang dalam masa yang sama masih menaruh harapan kepada MN.

“Pas melihat Umno seperti ‘janda’ yang ditinggal tidak bertalak. Pas memburukkan Umno dan pemimpin Umno dengan komen yang tidak beretika. Mereka cukup celupar dan tidak beradab.

“Umno diberi berbagai gelaran sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pemimpin Umno dituduh mahukan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diawalkan kerana takut masuk penjara.

“Semua komen-komen yang tidak islamik ini dibuat oleh pemimpin Pas tanpa segan dan silu. Sedangkan dalam masa yang sama Pas menaruh harapan untuk kembali bersama Umno dalam MN.

“Veteran merasakan sikap ‘berdiam diri’ Umno ini tidak menguntungkan parti. Umno mesti bertindak sebagai ‘suami’ yang mempunyai kuasa cerai. Bukan sebagai ‘isteri’ yang ditinggal suami.

“Sebagai suami Umno wajar menceraikan Pas dengan talak tiga kerana terbukti Pas telah menduakan suaminya,” tegasnya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights