‘Zuraida melutut kepada Umno, BN demi talian hayat’ – Mohd Isa

‘Zuraida melutut kepada Umno, BN demi talian hayat’ – Mohd Isa

KETUA Bahagian Bersatu Ampang, Mohd Isa Mohd Saidi menyifatkan Datuk Zuraida Kamaruddin tiada prinsip kerana dahulu beliau antara yang kuat mengkritik pimpinan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Razak.

Bagaimanapun, beliau berkata ketika ini dua pemimpin Umno itu menjadi sumber nyawa untuk Ahli Parlimen Ampang tersebut.

“Tidak ada sebab untuk Perdana Menteri mengekalkan Zuraida dengan mencuri kuota Bersatu.

“Jika Perdana Menteri mahu memberi talian hayat kepada Zuraida, beliau perlu menggugurkan salah seorang Menteri dari kuota Umno dan bukan mencuri kuota Bersatu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hari ni, Zuraida dilaporkan masih berharap kekal sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi menerusi perjumpaannya dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dijadualkan berlangsung dalam masa terdekat.

Beliau berkata, harapan itu supaya segala program serta perancangan dimulakan menerusi kementerian diterajuinya itu dapat disempurnakan termasuk beberapa program yang sedang dalam peringkat pelaksanaan.

Sementara itu, Mohd Isa berkata penyertaan Zuraida ke Parti Bangsa Malaysia (PBM) sebagai ‘Presiden Designate’ bukan satu perkara yang mengejutkan.

Katanya, ini kerana sejak Zuraida dalam Bersatu beliau ingin memegang jawatan tertinggi dengan pantas, tanpa mengikut proses biasa untuk naik dalam sesebuah parti.

“Daripada Ketua Wanita Pakatan Harapan Malaysia dan juga Ketua Sayap Wanita Parti Keadilan Rakyat, apabila bersama Bersatu beliau mengharapkan tempat dan kedudukan dalam parti tanpa melalui pemilihan.

“Tetapi apabila dilantik ke jawatan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Zuraida gagal memainkan peranan untuk menyatukan parti. Semua tindakan beliau hanya untuk kelompok kecil kroni-kroni yang bersama dia saja, bukan untuk parti atau rakyat,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Mohd Isa menegaskan Bersatu sentiasa teguh bahawa tiada ahli parti yang mengikuti ‘Langkah Zuraida’, malah tiada satu cawangan pun yang ditutup dalam Bahagian Ampang di mana Zuraida pernah berada.

Ujarnya, kini Zuraida melutut kepada Umno dan Barisan Nasional demi mencari talian hayat.

“Nampaknya Zuraida langsung tidak ada rasa malu untuk menjilat ludah sendiri demi untuk mengekalkan pangkat dan harta,” katanya. – Malaysiapost

Komen