SERAMAI 10 penumpang cedera selepas bas ekspres dinaiki terbabas dan terbalik semasa melalui selekoh di Jalan Gunong -Jelawat dekat Kampung Bator, Bachok, Kelantan hari ini.
Pemandu bas ekspres jenis Scania berkenaan yang berusia 27 dilaporkan tidak mengalami kecederaan, dalam kejadian jam 5.30 pagi itu.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, siasatan awal mendapati bas ekspres berkenaan sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Jelawat bersama 10 penumpang.
Menurutnya, semasa tiba di kawasan selekoh Kampung Bator, bas tersebut dipercayai hilang kawalan dan terbabas sebelum terbalik di tepi jalan.
“Insiden itu menyebabkan penumpang bas berkenaan cedera ringan manakala pemandunya tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mohamad Ismail, kerja-kerja mengalih dan mengangkat bas tersebut telah dijalankan oleh pihak pengurusan bas ekspres tersebut dan operasi itu selesai kira-kira jam 11 pagi tadi.
Beliau turut memaklumkan tiada sebarang laporan polis dibuat berhubung kejadian tersebut sehingga jam 12 tengah hari tadi. – Malaysiapost