AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Sandakan menahan empat nelayan warga asing disyaki positif dadah dalam satu operasi di perairan Sandakan, Sabah, awal pagi kelmarin.
Maritim Malaysia, berkata kesemua lelaki terbabit ditahan di atas dua bot berasingan semasa rondaan rutin Op Pluto Timur di kedudukan 1.0 batu nautika selatan Pulau Nunuyan Laut, Sandakan, sekitar jam 1 pagi, kelmarin.
“Kedua-dua bot terbabit dikendalikan empat lelaki warga asing berusia antara 34 hingga 44 tahun,” menurut kenyataan itu.
APMM berkata, semasa diperiksa, keempat-empat mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah selain menggunakan dokumen pengenalan diri tempatan yang meragukan.
Katanya, suspek yang ditahan dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan bagi tujuan pengesahan dokumen.
“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kesemuanya positif dadah jenis methamphetamines dan kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.- Malaysiapost
Foto Kredit : Maritim Malaysia