AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak menahan sebuah bot nelayan tempatan yang menggaji kru warga asing tanpa kebenaran, di perairan Bagan Datuk, Perak semalam.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kapten Maritim Mohd Hambali Ya’akup berkata, tangkapan berkenaan dilakukan oleh bot ronda Maritim Malaysia di kedudukan 1.7 batu nautika barat laut Muara Sungai Burong, sekitar jam 7.15 malam.
Beliau berkata, penangkapan itu dibuat berikutan aduan orang awam mengenai pembabitan warga asing dalam aktiviti perikanan tempatan di sekitar perairan tersebut.
“Hasil pemeriksaan pasukan operasi mendapati, bot dikendalikan dua kru termasuk tekong merupakan warga Indonesia berusia 34 dan 39 tahun tanpa pengenalan diri yang sah.
“Tekong dan kru juga disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 (a) Akta Perikanan 1985 iaitu melakukan aktiviti perikanan tanpa memiliki satu dokumen yang sah dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu Mohd Hambali berkata, bot serta tekong termasuk kru dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Sitiawan, untuk proses penahanan, siasatan dan tindakan lanjut oleh pegawai penguat kuasa Maritim Malaysia.
“Justeru, orang ramai diminta menyalurkan maklumat atau aduan jenayah maritim kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999,” katanya. – Malaysiapost