Kematian Faziani: Polis mohon bantuan polis Thailand, Interpol
POLIS Kelantan akan mendapatkan maklumat terperinci daripada polis Thailand termasuk Interpol bagi membantu siasatan susulan laporan polis yang dibuat ahli keluarga pengasas produk kecantikan Dnars, Allahyarham Faziani Rohban Ahmad yang maut selepas terlibat dalam satu kemalangan di Pattani, Thailand pada 2019.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata siasatan pihaknya menjurus kepada laporan yang mengaitkan beberapa individu dan yang bersifat andaian.
“Bila dibuat laporan kita akan ambil keterangan, nak tahu apa sebenarnya laporan itu tetapi untuk siasatan, apa yang dipertikaikan? Apa yang berlaku semasa kejadian? Bagaimana masuk ke sana dan sebagainya, kita hantar ke Wisma Putra dan Interpol.
“Setakat ini kita belum menerima apa apa lagi, tetapi dalaman kita akan lihat individu mana yang disebut itu dan kita juga boleh bantu jiran kita (polis Thailand) di sana,” katanya memetik laporan AstroAwani.
Beliau berkata, pihaknya akan membuat siasatan menyeluruh, dan setakat ini laporan yang dibuat adalah berdasarkan andaian dan ‘cakap-cakap’ ahli keluarga dan perkara itu akan disahkan kemudian.
“Pihak polis memohon ruang untuk menjalankan siasatan secara terperinci bagi mencari keadilan untuk kedua-dua belah pihak” katanya.
Muhamad Zaki berkata, kemalangan yang mengorbankan Faziani berlaku di Thailand yang mana siasatan kemalangan itu dijalankan oleh polis negara jiran.
Bagaimana pun, polis Kelantan akan mendapatkan kerjasama dari Wisma Putra, Interpol dan pihak polis Thailand bagi siasatan yang dijalankan selepas menerima laporan yang dibuat oleh ahli keluarga mangsa.
Pada 16 Jun lalu, keluarga usahawan itu tampil membuat laporan polis di Ibupejabat Polis Daerah Tumpat.
Laporan yang dibuat keluarga Allahyarham Faziani, selepas keluarganya mendakwa terdapat perkara yang mencurigakan dalam kemalangan tersebut.
Faziani bersama bekas suaminya, Ahmad Shah Rizal Ibrahim terlibat kemalangan ketika dalam perjalanan ke sebuah pondok pengajian agama di Selatan Thailand bagi menyumbangkan sumbangan pada bulan Ramadan, Mei 2019.
Dalam insiden itu, Faziani meninggal dunia di lokasi kejadian Manakala suaminya mengalami kecederaan. – Malaysiapost