Kerjasama PN di Kedah wajar jadi contoh negeri lain – Azmin

Kerjasama PN di Kedah wajar jadi contoh negeri lain – Azmin

KERJASAMA erat dan baik yang dibentuk Perikatan Nasional (PN) di Kedah adalah model kerjasama terbaik untuk dicontohi negeri lain, kata Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti (MPT) Bersatu itu, berkata ia dibuktikan dengan perjumpaan bersama Pengerusi PN Kedah, Datuk Seri Muhamad Sanusi Md Nor dalam perjumpaan, malam tadi.

“Pada malam ini (tadi) saya dan Menteri Besar Kedah, Muhamad Sanusi sebagai pimpinan PN akan mengadakan pertemuan dan perbincangan.

“Sudah tentulah ia sekali lagi membuktikan betapa kukuhnya kerjasama dalam PN di Kedah ini,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Ketika diminta mengulas sama ada pertemuan itu untuk membincangkan tentang gerak kerja Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Mohamed Azmin berkata, mereka tidak akan membincangkan secara terperinci berhubung perkara itu.

“Tetapi dari segi prinsip dan dasar PN, kita telah mengambil ketetapan untuk terus memperkukuhkan kerjasama.

“(Namun) minggu hadapan, ada satu pertemuan dan perbincangan penting peringkat PN yang juga akan diwakili oleh kerajaan-kerajaan negeri yang ditadbir oleh PN untuk membincangkan perkara terperinci tentang gerak tersebut,” katanya.

Beliau menjelaskan, pertemuan dengan Muhammad Sanusi lebih kepada perjumpaan umum untuk membuktikan bahawa Kedah adalah satu model kerjasama yang terbaik yang perlu dicontohi negeri lain.

Beliau berpandangan pertemuan berkenaan penting untuk memastikan dasar-dasar kerajaan negeri dan juga program dirancang dapat dilaksanakan.

Sementara itu, menerusi Facebook, Mohamed Azmin berkata, pertemuan bersama pimpinan semua parti anggota PN malam tadi, menampilkan semangat setiakawan dan kerjasama yang utuh dalam PN Kedah.

“Saya yakin, Kedah bakal menjadi ‘front line state’, sebagai contoh buat negeri-negeri lain pada masa akan datang,” katanya. – Malaysiapost

Komen