Kumpulan jenayah khianat, tawar pinjaman tidak wujud tumpas

POLIS Pulau Pinang berjaya menumpaskan kumpulan yang melakukan khianat dan menawarkan aktiviti pinjaman wang tidak wujud dalam satu serbuan di sebuah kondominium mewah, di kawasan Perda Bukit Mertajam, Rabu lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata serbuan pada jam 12.45 tengah hari yang dijalankan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT) berjaya menahan 13 individu.

Menurutnya, tangkapan membabitkan lelaki dan wanita warga tempatan berusia dalam lingkungan 19 hingga 30 tahun.

“Serbuan dilakukan hasil daripada risikan dan maklumat awam berkaitan aktiviti jenayah khianat seperti simbah cat, ugutan jenayah dan kegiatan Along.

“Tangkapan terdiri daripada sembilan lelaki dan empat wanita yang berasal dari Pulau Pinang, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Selangor serta Sabah. Tiga daripada tangkapan mempunyai rekod jenayah dan dadah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, dalam serbuan itu polis turut merampas pelbagai barangan antaranya 27 telefon bimbit, 10 buah buku nota tercatat nombor telefon, nombor akaun mangsa dan skrip dipercayai untuk memperdaya mangsa dan tiga komputer riba serta sebuah Perodua Myvi.

“Hasil siasatan juga mendedahkan kesemua tangkapan ini turut terlibat dalam sindiket pinjaman tidak wujud dengan mengutip yuran pemprosesan daripada mangsa tanpa pinjaman dan 2021.

“Modus operandi sindiket adalah mengiklankan pinjaman mereka menerusi media sosial seperti Facebook serta aplikasi WhatsApp.

“Sindiket kemudiannya akan berhubung dengan mangsa sebelum memperdayakan mereka dengan meminta sejumlah bayaran sebagai yuran pemprosesan,” katanya.

Menurutnya, hasil semakan setakat ini mendapati sebanyak 132 laporan polis diterima berkaitan aktiviti kumpulan berkenaan yang membabitkan semua negeri.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan (KK) iaitu khianat yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum dengan penjara maksimum selama lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

“Siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 420 KK iaitu menipu yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum dengan penjara tidak kurang daripada 1 tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun dengan sebatan dan juga dikenakan denda,” katanya.

Mohd Shuhaily meminta orang ramai menyalurkan maklumat sekiranya melihat sebarang kegiatan mencurigakan di kawasan kediaman dan mengucapkan terima kasih di atas kerjasama masyarakat Pulau Pinang. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights