Layanan dua darjat SPRM: Najib bidas tuduhan Guan Eng

Layanan dua darjat SPRM: Najib bidas tuduhan Guan Eng

DATUK Seri Najib Razak membidas tuduhan Lim Guan Eng yang mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi layanan dua darjat berhubung kes rasuah Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan dan Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB).

Bekas Perdana Menteri itu, berkata Pengerusi DAP itu perlu muhasabah diri dan tidak sepatutnya membuat tuduhan tersebut kerana kes beliau juga pernah digugurkan ketika zaman Kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah

“Baru Guan Eng nak sembang dua darjat? Siapa yang digugurkan kes banglo di tengah perbicaraan dan tidak didakwa rasuah terowong semasa kerajaan PH memerintah walaupun kertas siasatan sudah siap sejak tahun 2018?,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Najib berkata, kes rasuah Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) sejak 2018 itu turut melibatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ketika itu memegang jawatan Menteri Dalam Negeri ketika pentadbiran kerajaan PH.

Menurut Najib, beberapa jawatan penting, iaitu Ketua Pesuruhjayanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Peguam Negara dilantik oleh kerajaan PH, namun hanya Ahmad Zahid yang didakwa ketika itu.

“Pemberian wang oleh syarikat terbabit kepada Muhyiddin dan beberapa orang lagi dikatakan berlaku sehingga Ogos 2018.

“Shukri Abdul pilihan (Tun Dr) Mahathir (Mohamad) dilantik Ketua (Pesuruhjaya) SPRM pada Mei 2018. (Tan Sri) Tommy Thomas pilihan bapa kamu Kit Siang dilantik Peguam Negara pada Jun 2018.

“Zahid didakwa pada Oktober 2018. Pemimpin PKR Lateefah Koya pula dilantik Ketua SPRM untuk ganti Shukri pada Jun 2019,” katanya.

Justeru, beliau berkata, kesemua siasatan ke atas kes tersebut juga dijalankan dalam tempoh Kerajaan PH memerintah dan sepatutnya Guan Eng tidak wajar menuding jari kepada kerajaan kini termasuk SPRM.

“Kesemua siasatan atas kes ini dijalankan dalam tempoh kerajaan PH di bawah Ketua (Pesuruhjaya) SPRM dan Ketua Peguam Negara yang dipilih Kerajaan PH sendiri.

“Jadi, kenapa pula Guan Eng tak tanya atau salahkan Shukri, Lateefah serta Tommy kenapa kes-kes terhadap Muhyiddin (yang merupakan Menteri KDN kerajaan PH masa itu) dan lain-lain individu tidak disiasat atau didakwa ketika pemerintahan kerajaan PH?,” soalnya.

Terdahulu, Guan Eng menggesa SPRM dirombak secara besar-besaran bagi memulihkan keyakinan dan memperbaiki kedudukan dalam Indeks Persepsi Rasuah oleh Transparency International.

Menurutnya, SPRM dilihat gagal menjalankan tanggungjawab dan tugas mereka selepas pendedahan saksi mahkamah melibatkan Ahmad Zahid dan Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) dan Bestinet. – Malaysiapost

Komen