Lelaki bertindak kejam rejam kucing dengan batu
SEORANG lelaki dirakam bertindak kejam terhadap seekor kucing dengan membaling haiwan berkenaan menggunakan batu selain turut menendang kucing berkenaan dalam kejadian di kaki lima sebuah kedai serbaneka di Semeling, Kedah.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berkenaan yang tular memaparkan tindakan individu terbabit pada jam 1.10 pagi yang datang menaiki sebuah kereta sebelum mengumpan kucing berkenaan dengan makanan dan kemudian merejamnya dengan batu.
Turut tular video menunjukkan lelaki terbabit menangkap seekor lagi kucing dan memasukkannya ke dalam kereta pada waktu dan tempat yang sama.

“Assalamualaikum dan salam sejahtera warga group. Pada jam lebih kurang 1:10 pagi, seorang individu lelaki telah datang ke bahagian hadapan kedai MR DIY Express Semeling dipercayai ingin memberi makanan kepada seekor kucing lalu bertindak membaling batu ke arah kucing tersebut dan membiarkannya dalam kesakitan tanpa memberikan bantuan.
“Di sini saya sertakan rakaman CCTV bagi membuktikan kesahihan kenyataan yang saya sampaikan. Saya di sini sangat tidak menyokong keganasan terhadap haiwan yang tidak berperikemanusiaan,” kata Hafiz Qayyum dalam satu perkongsian di Facebook.

Hafiz turut memuat naik gambar kucing yang dihempas dengan batu berkenaan yang mengalami kecederaan di bahagian kepala.
Dalam perkongsian terbaru di ruangan komen hantaran dibuatnya, pengguna Facebook berkenaan turut berkongsi gambar seekor kucing yang telah mati dipercayai kucing yang ditangkap oleh lelaki berkenaan.
“Pihak polis telah menjumpai bangkai haiwan di rumah suspek. Kucing ini dipercayai di bawa pulang oleh suspek dari tempat kejadian.
“Kucing ini kami bela di kawasan kedai tempat kerja @ tempat kejadian,” katanya lagi.

Sementara itu, Persatuan Haiwan Malaysia turut berkongsi video yang tular terbabit di laman Facebooknya.
“Kucing ini tidak menyusahkan sesiapa. Tidak ganggu sesiapa dan tidak pula membahayakan nyawa mana-mana pihak pun.
“Mengapa dia direjam dengan batu hingga cedera di kepala tanpa salah apa-apa? Kecederaan dialami kucing dilihat agak serius dan kucing juga dibiarkan menggelinting kesakitan dalam jangka waktu yang lama,” katanya. – Malaysiapost