PAS Kelantan terus bersih daripada rekod salah guna kuasa terutama berkait dengan rasuah sepanjang 32 tahun mentadbir negeri itu sejak 1990.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah, berkata walaupun ada laporan berkait dengan isu tersebut dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) oleh pihak-pihak tertentu namun ia gagal dibuktikan.
“Kerajaan negeri terbuka dalam isu rasuah, sebab itulah kita memberikan kerjasama yang baik kepada SPRM untuk membuat siasatan jika timbul satu-satu laporan,” katanya memetik Sinar Harian.
Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa berhubung dengan SPRM dalam memastikan kepatuhan terhadap integriti yang sentiasa dititik beratkan.
Mohd Amar berkata, tiada kompromi kepada mana-mana individu yang dikesan terlibat dengan penyalahgunaan kuasa.
Sebelum ini, media melaporkan seorang bekas pengurus besar Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) yang disiasat berkait rasuah projek bernilai lebih RM27 juta dibebaskan dengan jaminan SPRM. – Malaysiapost