Pemilik, pemandu Bezza WD 2343 E sila tampil ke balai polis

PEMANDU sebuah kereta jenis Perodua Bezza yang melarikan diri dari sekatan jalan raya (SJR) dan melanggar sebuah motosikal di Kilometer 0.4 Lebuhraya Sprint, dekat Tol Damansara di sini, awal pagi tadi kini diburu polis.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata kejadian berlaku jam 2.10 pagi ketika sepasukan polis Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menjalankan SJR Op Alkohol di lebuh raya berkenaan.

“Semasa sekatan jalan dilakukan telah menahan sebuah kereta jenis Perodua Bezza dengan nombor pendaftaran WD 2343 E.

“Namun pemandu kereta terus memecut laju kenderaan sebelum merempuh sebuah motosikal ditunggang lelaki tempatan yang melalui sekatan sama,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kepada pemilik kenderaan dan pemandu kereta yang berkenaan mohon tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Penolong Pegawai Penyiasat Trafik Sarjan Azaruddin Mokhtarzad di talian 011-11713436.

“Polis ingin mengingatkan serta memohon semua pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya bagi mengelak berlakunya kemalangan,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights