Pendaftaran kenderaan dilanjut sehingga 31 Mac 2023

TEMPOH pendaftaran kenderaan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dilanjutkan sehingga 31 Mac 2023 bagi membolehkan pembeli yang membuat tempahan kenderaan sehingga 30 Jun ini terus menikmati insentif pengecualian cukai jualan.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata sebelum ini dalam usaha kerajaan mengekal dan meningkatkan momentum permintaan dan jualan kenderaan penumpang yang terjejas akibat pandemik Covid-19, pengecualian cukai jualan kenderaan penumpang tempatan dan import.

Menurutnya, insentif itu bermula 15 Jun 2020 membabitkan pengecualian cukai jualan sepenuhnya ke atas kenderaan penumpang termasuk kenderaan utiliti sukan (SUV) dan kenderaan pelbagai guna (MPV) pemasangan tempatan dan 50 peratus pengecualian cukai jualan ke atas kenderaan penumpang import (CBU) sehingga 30 Jun ini.

“Setakat ini, sebanyak 868,422 unit kenderaan terjual di seluruh negara dan rakyat mendapat manfaat pengecualian cukai jualan berjumlah RM4.7 bilion.

“Dengan pembukaan sektor ekonomi, sektor automotif sudah kembali beroperasi seperti sedia kala. Walaubagaimanapun terdapat sejumlah permintaan terhadap kenderaan itu masih belum dapat dipenuhi berikutan gangguan kepada rantai bekalan global.

“Pada masa sama seluruh dunia menghadapi masalah kekurangan cip mikro semikonduktor yang digunakan secara meluas merentas beberapa industri termasuk industri automotif,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, berikutan permasalahan ini, sebanyak 264,000 unit kenderaan yang ditempah di dalam tempoh pengecualian ini masih belum siap pemasangan dan tidak dapat dibekalkan kepada pembeli.

“Sehubungan itu, bagi membolehkan pembeli yang membuat tempahan kenderaan sehingga 30 Jun ini terus menikmati insentif pengecualian cukai jualan ini, sukacita dimaklumkan tempoh pendaftaran kenderaan tersebut di JPJ dilanjutkan sehingga 31 Mac tahun depan

“Lanjutan tempoh pendaftaran kenderaan ini adalah satu penyelesaian titik tengah bagi mengimbangi kepentingan pengguna dan hasil cukai negara yang perlu ditingkatkan semula pasca pandemik Covid-19 bagi memastikan kebajikan rakyat dan kesejahteraan ekonomi negara terus terpelihara,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights