RAJA Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat mengucapkan selamat jalan kepada jemaah haji Malaysia yang berlepas ke Tanah Suci bagi musim haji 1443H/2022 di Kompleks Haji Sepang (Movenpick) hari ini.
Keberangkatan tiba Raja Permaisuri Agong pada jam 10 pagi disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad.
Dalam satu hantaran di Facebook Istana Negara, Seri Paduka Baginda yang membacakan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Dalam titahnya menyatakan kesempatan bertemu dan mengucapkan selamat jalan kepada tetamu Allah SWT itu membawa erti besar kerana telah dua tahun rakyat Malaysia menanti untuk menunaikan ibadah haji akibat pandemik Covid-19.
“Seri Paduka Baginda bertitah Baginda bersyukur kerana pada tahun ini rakyat telah kembali menerima jemputan menjadi tetamu Allah SWT di Tanah Suci.
“Seri Paduka Baginda menasihati para jemaah haji untuk terus menjaga kebersihan diri dan memastikan semua arahan pihak berkuasa serta prosedur operasi standard sentiasa dipatuhi, memandangkan situasi pandemik dunia yang masih belum pulih sepenuhnya,” menurut hantaran itu.
.
Jemaah haji Malaysia turut diminta untuk sentiasa menjaga akhlak dan menjauhi segala anasir tidak sihat yang boleh menjejaskan imej serta nama baik negara.

Seramai 14,306 jemaah haji dari Malaysia mengerjakan Rukun Islam Kelima itu pada musim haji tahun ini, dengan dibantu 340 petugas Lembaga Tabung Haji (TH).
Pada hari ini seramai 291 jemaah haji berlepas ke Tanah Suci menerusi penerbangan Saudia Airlines SV 5633 ke Jeddah pada jam 4.45 petang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan dijangka tiba kira-kira 8.10 malam (waktu Arab Saudi). – Malaysiapost