KERAJAAN memberi jaminan badan kehakiman bebas untuk menjalankan perbicaraan dan membuat penghakiman di mahkamah tanpa campur tangan daripada mana-mana pihak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata bagaimanapun tiada kebebasan dalam melakukan perkara-perkara yang berkaitan dengan jenayah.
“Setiap individu di negara ini, tidak kira siapa, tiada seseorang pun dapat mengatasi undang-undang.
“Jikalau mereka melakukan kegiatan jenayah, maka mereka boleh disiasat oleh mana-mana agensi seperti Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kastam dan Imigresen.
“Cuma cara siasatan tidak perlu dihebohkan dahulu bagi menghormati Institusi Kehakiman negara,” katanya dalam hantaran Facebook.
Ismail Sabri berkata, beliau menghormati pengasingan kuasa dalam sistem demokrasi di negara ini.
“Sebagai pengamal undang-undang, saya faham tentang pengasingan kuasa ini dan saya menghormati setiap cabang tersebut,” ujarnya.
Semalam, Perdana Menteri dilaporkan berkata siasatan yang dijalankan terhadap mana-mana hakim tidak perlu dihebohkan dalam media bagi menjamin dan menjaga institusi kehakiman supaya ia sentiasa dihormati.
Beliau berkata, setiap individu di Malaysia tidak mengatasi undang-undang dan pihak berkuasa boleh menjalankan siasatan jika terdapat dakwaan berlaku ketidakpatuhan atau perlanggaran undang-undang.
Ujarnya, siasatan terhadap mana-mana individu termasuk hakim boleh dilakukan oleh agensi berkaitan berdasarkan bidang kuasa yang diperuntuk seperti rasuah di bawah SPRM atau PDRM jika melibatkan kesalahan jenayah. – Malaysiapost