‘Walaupun tidak ada A, yang penting dapat laki’

MESKIPUN anak tidak menyambung pelajaran selepas mendapat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), seorang ibu mengakui bangga kerana anaknya bakal berkahwin di usia muda.

Ibu kepada Shakilla Miezam, 17, memaklumkan perkara itu menerusi sebuah video di aplikasi TikTok, dan menjadi tular sejak kelmarin.

“Orang lain lepas SPM dapat sambung belajar, anak saya lepas SPM dapat laki (suami).

“Walaupun tidak ada A, yang penting dapat laki,” kata ibu itu.

Video tersebut menerima reaksi ramai dan menjadi perbualan berkenaan perkahwinan di usia muda.

Selepas keputusan SPM bagi tahun 2021 diumumkan 16 Jun lalu, bagai menjadi trend pelajar bangga memuat naik slip SPM dengan keputusan kurang memuaskan.

Ada di antara mereka dengan bangga menunjukkan mendapat gred gagal (gred G) bagi semua mata pelajaran termasuk Bahasa Melayu.

Meninjau di ruangan komen, rata-rata netizen memberi pendapat bahawa keputusan remaja itu ingin berkahwin selepas SPM adalah berbaloi jika sudah mempunyai pilihan hati kerana bimbang dengan godaan usia muda.

“Sekurang-kurangnya adik ini dia dah tak minat belajar. Dia ambil keputusan kahwin bagi elak buat dosa. Tiada yang salah pun jika kahwin awal,” kata Wan Kuntum.

“Ibu ini mesti tahu kemampuan anak dia. Sebab itu dia bagi kahwin awal. Perempuan tak apa bila tak kerja orang tidak cop pemalas. Kalau lelaki mesti kena ada kelulusan sebab kena tanggung keluarga,” kata Sharifah Hasnah.

Terdapat juga netizen yang kurang senang dengan ‘content’ seolah-olah menggambarkan pelajaran tidak penting, sehingga memberi suntikan minda tidak sihat kepada pelajar sekolah.

“Zaman sekarang dah terbalik. Cerita pelajar cemerlang sehari je dah lupa. Tapi kalau yang tunjuk semua gagal, Bahasa Melayu dan Pendidikan Islam pun dapat G jadi viral terkenal. Teruknya pemikiran zaman sekarang,” ujar Nely Chi Hanie.

“Jangan sebab video macam ni budak-budak sekolah anggap tak apa tak lulus SPM. Boleh jadi TikTokers, buat video minta kecam. Bila dah viral korang suruh dia review produk. Lemah..,” kata Nadiah Kamarul. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights