SEORANG pesara swasta berusia 68 tahun kerugian lebih RM650,000 akibat ditipu sindiket Macau Scam yang menghubungi mangsa dan menyamar sebagai polis.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Johor, Asisten Komisioner Amran Md Jusin, berkata suspek bertindak menakutkan mangsa dengan memberitahu mangsa terbabit dengan pengambilan ubat terlarang dan pengubahan wang haram.
“Suspek meyakinkan mangsa bahawa akaun bank milik mangsa akan diaudit dan disiasat.
“Mangsa kemudian diarah memindahkan semua wang dari akaun miliknya ke dalam satu akaun bank lain yang diberikan suspek kononnya bagi tujuan siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, suspek juga memberitahu terdapat notis perintah mahkamah tinggi yang mengarahkan mangsa untuk memberikan kerjasama kepada pihak polis.
“Tanpa usul periksa, mangsa memindahkan sebanyak RM652,500 dari akaun bank miliknya kepada nombor akaun bank tempatan yang diberikan suspek.
“Sebanyak 22 transaksi telah dilakukan oleh mangsa bermula 11 Mei lalu hingga 5 Jun lalu. Kesemua wang tersebut adalah wang hasil simpanan mangsa,” katanya.
Beliau berkata, mangsa menyedari dirinya ditipu apabila memaklumkan kepada anaknya dan seterusnya membuat laporan polis di Balai Polis Nusa Bestari semalam.
“Siasatan awal polis mendapati dua kes direkodkan antara tempoh 6 Mei hingga semalam dalam lain-lain kes jenayah komersil dilaporkan,” katanya. – Malaysiapost
Kredit foto : Polis Johor