BUDAYA melucah kini sudah menyerap masuk dalam pemikiran masyarakat dengan begitu dahsyat sekali, kata Pakar Motivasi, Mohd Fairuz Abu.
Beliau yang dikenali sebagai Akhi Fairuz Al-Jengkawi, berkata perkara itu bermula apabila semua perkara kini dianggap sebagai gurauan sekali gus dinormalisasikan dalam masyarakat.
“Ya, walau ia lucah tapi ramai je kata ‘jangan terasa hati sangat, aku buat lawak je, tak boleh gurau duduk surau’.
“Lama-kelamaan ia dinormalisasikan. Bermula sembang sesama kawan-kawan di kedai kopi dan pejabat.
“Kemudian pula menjengah ke pentas lawak di televisyen dan kini berebut-rebut manusia hasilkan konten sebegini di media sosial,” katanya menerusi tulisan di Facebook.
Jelasnya, keadan ini berlaku kerana masyarakat ketika ini berlumba-luma untuk membuat ‘content’ di media sosial sehingga sanggup mengenepikan sifat malu.
“Yang menampar punggung tu bukan tak pernah buat kontroversi. Dah banyak kali. Yang ditampar punggung pun sama. Bukan muda lagi, dah tua pun masing-masing. Macam tak ada akal dok layan ‘jenaka’ bodoh begini,” katanya.
Jelasnya lagi, situasi tersebut juga berlaku kerana ‘marketing’ seperti itu dilihat mampu menaikkan jualan produk, maka individu terbabit akan terus melakukan aksi sedemikian rupa.
“Kebodohan sebegini seolah-olah tidak ada penghujung hingga muncul pula video beberapa lelaki meraikan majlis perkahwinan kawannya dengan menghadiahkan kondom serta item berkaitan kepada pasangan di jinjang pelamin.
“Siap rakam video dan sebarkan lagi. Biadap, tidak ada akhlak. Ini zaman bukan sahaja manusia semakin hilang rasa malu.
“Bahkan mendedahkan aib mereka sendiri di media sosial dengan penuh rasa bangga,” katanya.
Justeru, beliau menasihati semua pihak supaya menjauhi video lucah dan berhentilah menonton pornografi yang umpama barah serta dadah yang akan merosakkan otak. – Malaysiapost