Gangguan air di 47 kawasan di Petaling pulih esok

GANGGUAN bekalan air berjadual membabitkan 47 kawasan di Wilayah Petaling dijangka pulih sepenuhnya jam 9 pagi esok.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan gangguan bekalan itu berlaku berikutan pelaksanaan kerja penambahbaikan sistem bekalan air di Kolam Air Bukit Dengkil.

Menurut Air Selangor, kerja-kerja penambahbaikan sistem bekalan air itu sudah bermula jam 9 pagi tadi mengikut jadual seperti yang diumumkan pada 10 Jun lalu dan dijangka siap 9 malam ini.

“Justeru, bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat kepada para pengguna setelah sistem bekalan air distabilkan.

“Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air,” menurut kenyataan, hari ini.

Selain itu, Air Selangor berkata, pihaknya akan menggerakkan lori tangki air ke kawasan yang terjejas dengan memberikan keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

“Sehubungan itu, pengguna boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300.

“Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Help Centre di laman sesawang www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights