GERAKAN Media Merdeka (Geramm) berpandangan sebarang cubaan untuk menghalang media dari menjalankan tugas, apatah lagi dengan melibatkan tindakan fizikal tidak dapat diterima.
Menurut kenyataan Geramm itu, pandangan itu dibuat susulan insiden kekecohan melibatkan sekumpulan jurugambar dan seorang peguam mewakili tertuduh dalam kes bunuh Cradle Fund di Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini.
Katanya, perlu diingatkan, bahawa media boleh menyiarkan gambar dan nama mana-mana tertuduh dalam sebarang kes, kecuali jika melibatkan kes juvana.
“Dalam kes ini, pihak peguam mewakili tertuduh seharusnya memaklumkan sekiranya terdapat sebarang pertimbangan untuk melindungi identiti suspek.
“Namun, pada masa yang sama, #kawangeramm juga seharusnya mengelak dari melakukan sebarang tindakan provokasi atau menyerang balas kecuali jika terdesak untuk mempertahankan diri,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, Geramm mengulangi gesaan agar diwujudkan undang-undang untuk melindungi hak wartawan dalam menjalankan tugas mengikut etika yang ditetapkan oleh Majlis Media Malaysia sebagai badan kawalan kendiri.
Terdahulu, rakaman video kejadian terbabit memaparkan tindakan peguam secara kasar menghalang kerumunan jurugambar dari menjalankan liputan bagi ketibaan tiga orang tertuduh yang kemudiannya dinyatakan tidak bersalah oleh hakim.
Turut kelihatan seorang jurugambar kemudiannya bertindak untuk memukul kepala peguam berkenaan menggunakan kamera, sebelum kedua-dua pihak melontarkan kata-kata kesat.
Media melaporkan, jurugambar Utusan Malaysia, Zulfadhli Zaki dan peguam S Suresh bagaimanapun telah ‘meminta maaf’ dalam satu pertemuan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam sejurus setelah kedua-dua pihak tampil untuk membuat laporan polis.
Menurut Zulfadhli, laporan polis dibuat kerana Suresh didakwa telah merentap pas media rasmi miliknya yang dipakai semasa bertugas. – Malaysiapost