Hadiah pengantin: ‘Jangan budayakan jenaka lucah’ – Ustazah Asma

Hadiah pengantin: ‘Jangan budayakan jenaka lucah’ – Ustazah Asma

PENDAKWAH bebas Ustazah Asma’ Harun kesal dengan tindakan sekumpulan lelaki, yang videonya tular di media sosial, memaparkan mereka menghadiahkan barangan tidak senonoh kepada pasangan pengantin baru-baru ini.

Ustazah Asma berkata, meskipun mahu mengikuti trend dan bergurau, namun perlu tahu batas sebagai orang Islam dalam menjaga maruah diri.

Beliau berkata, budaya jenaka berunsur lucah ini tidak patut diamalkan dan sebelum melakukan perkara sedemikian fikirkan dahulu kesan kepada orang lain.

“Allahu Akbar. Sebenarnya saya yang menonton pun jadi malu, apatah lagi bila melihat kedua-dua pengantin lelaki dan perempuan tertunduk sambil tutup muka dengan pemberian mereka yang tiada sedikitpun rasa malu.

“Saya mohon, janganlah budayakan jenaka lucah sebegini, fikirkanlah apa kesannya kepada sesiapapun yang melihat.

“Budaya memberi hadiah di pelamin sekarang menjadi satu trend, namun tak seharusnya diikuti jika tujuan untuk publisiti dan maruah digadai. Berbaloikah? Sungguh, sifat malu itu perisai orang mukmin,” katanya menerusi Facebook.

Jelas Ustazah Asma, sifat malu itu salah satu sifat mulia kerana ia melindungi manusia daripada melakukan perkara yang dilarang oleh Allah.

“Dengan malu, kita takut nak bermaksiat, sakiti orang lain, melihat perkara haram, mendedahkan aurat, buat perkara yang menjatuhkan maruah.

“Bagaimanapun, tidak salah ingin memberi, tidak salah ingin bahagiakan kawan ketika jadi raja sehari, tapi bila sampai mencemarkan adab depan orang ramai, bahkan ditontonkan pula secara terbuka di media sosial sebenarnya memang sangat melampau,” katanya.

Baru-baru ini, tular satu video berdurasi dua minit 15 saat di TikTok yang menunjukkan rakan pengantin memberikan hadiah tidak senonoh kepada pengantin dalam satu majlis perkahwinan.

Menerusi video itu, rakan pengantin secara bergilir-gilir memberikan hadiah iaitu kondom kepada pengantin lelaki di atas pelamin ketika majlis.

Video itu mencetus kritikan dalam kalangan warga maya yang terkejut dengan tindakan rakan pengantin yang disifatkan tidak sensitif apabila memberikan hadiah berkenaan secara terbuka. – Malaysiapost

Komen