Keluarga Nazrin mahu pihak pendakwaan buat rayuan
AHLI keluarga Nazrin Hassan mahu pasukan pendakwaan merayu terhadap keputusan mahkamah melepas dan membebaskan Samirah Muzaffar dan dua remaja daripada pertuduhan membunuh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund itu, empat tahun lalu.
Abang Nazrin, Dr Abdul Aziz, 62, berkata, pihaknya mahu mendapatkan keadilan dan mencari kebenaran terhadap kematian adiknya.
“Kita bersyukurlah keputusan mahkamah walaupun tidak berpihak kepada keluarga kami.
“Kita mohon untuk pendakwaan buat rayuan dan kita mohon demi keadilan. InsyaAllah kebenaran akan timbul, kami doa macam itu.
“Isu tidak berpuas hati atau tidak, kita kena terima sebagai takdir. Kita mahu terus usaha untuk cari keadilan. Jika pihak pendakwaan tidak buat rayuan, saya akan berbuat demikian dan meminta inkues bagaimana Nazrin maut,” katanya.
Menurut Dr Abdul Aziz, banyak persoalan tidak terjawab dalam perbicaraan.
Beliau menegaskan, sekiranya pihak Jabatan Peguam Negara tidak mahu membuat rayuan keluarga akan meminta satu inkues dijalankan terhadap kematian adiknya.
Sementara itu, kakak Nazri, Che Elainee Che Hassan, 65, turut bersetuju agar pihak pendakwaan membuat rayuan.
“Kami terima keputusan mahkamah, itu saja dan kami berserah kepada Allah.
“Untuk mencari kebenaran, kami hanya mahu mencari kebenaran. Kita bukan mahu mencari mangsa untuk dihukum. Kami hanya mahu mencari kebenaran. Itu sahaja,” katanya.
Sementara itu, pihak pendakwaan memaklumkan, mereka akan membuat rayuan terhadap keputusan yang dibuat oleh Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman hari ini.
Terdahulu, Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman menetapkan keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Samirah, 47, yang juga balu Allahyarham Nazrin dan remaja berusia 16 serta 19 tahun berkenaan.
Perbicaraan bermula 6 September 2019. Samirah, dua remaja terbabit dan seorang warga Indonesia yang masih bebas, Eka Wahyu Lestari didakwa membunuh Nazrin di sebuah rumah di Mutiara Damansara antara jam 11.30 malam, 13 Jun 2018 hingga 4 pagi 14 Jun 2018. – Malaysiapost