Kenderaan bertambah, halangan di jalan utama punca trafik di KL sesak
PERTAMBAHAN bilangan kenderaan yang memasuki Pusat Bandar dan terdapat halangan yang berlaku di jalan-jalan utama, antara punca berlaku kesesakan jalan raya di Kuala Lumpur,
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, berkata kesesakan itu bermula selepas kerajaan melonggarkan perintah kawalan pergerakan Covid-19 melalui pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada Ogos 2021.
Katanya, jumlah penggunaan kenderaan di Kuala Lumpur bertambah dengan mendadak, dengan mencatatkan sehingga 45 peratus kenaikan kenderaan.
“Rekod pada Disember 2019 sebanyak 26.51 juta kenderaan/sebulan, meningkat kepada 46.76 juta kenderaan/sebulan pada bulan Disember 2021.
“Selain para pekerja yang sudah mula bekerja secara rutin di pejabat, iaitu tiada lagi pelaksanaan ‘Work From Home’,” katanya kenyataan, hari ini.
Jalaluddin berkata, selain itu, punca kesesakan jalan raya di Kuala Lumpur juga disebabkan pertambahan bilangan kenderaan memasuki pusat bandar dan halangan yang berlaku setiap hari di jalan-jalan utama.
“Antara halangan yang dikenal pasti seperti kemalangan, kenderaan rosak, kerja pembinaan lebuhraya konsesi, kerja pembangunan baru yang melibatkan penutupan atau lencongan jalan melalui kaedah Traffic Management Plan (TMP) dan penyelenggaraan jalan.
“Termasuk kejadian tanah mendap, air bertakung, pokok tumbang, kerosakan lampu isyarat, urusan hantar/ambil anak sekolah dan juga berlaku ‘cross traffic’ dari jalan konsesi ke jalan sedia ada menyumbang kepada kesesakan,” katanya.
Justeru, atas kesedaran itu, beliau berkata, Kementerian melalui agensi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membentuk sebuah Pasukan Task Force bagi bertindak meneliti isu tersebut.
Tambahnya, DBKL bersama bahagian trafik Polis Di Raja Malaysia (PDRM) sentiasa berkerjasama mencari jalan penyelesaian berkaitan kaedah dan tindakan penyuraian kesesakan lalulintas di pusat bandar.
“Sebagai langkah jangka pendek, bermula serta merta, penempatan kawalan penguatkuasaan secara bersama DBKL dan PDRM pada waktu puncak akan digerakkan secara lebih drastik.
“Terdapat 72 lokasi di bawah PDRM (Bahagian Trafik) dan 13 lokasi di bawah DBKL,” katanya. – Malaysiapost