KJ nafi terima dana politik daripada UKSB

MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin menafikan dakwaan beliau menerima sejumlah dana daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) seperti didedahkan saksi dalam perbicaraan kes rasuah Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, minggu lalu.

Khairy berkata, beliau juga bersedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa termasuk dirakam keterangan berhubung perkara itu.

“Saya nak nyatakan bahawa saya tak pernah terima apa-apa secara peribadi seperti mana yang telahpun dilaporkan.

“Saya tak terima apa-apa wang dalam kes (perbicaraan) tersebut. Jika dipanggil oleh mana-mana pihak (berkuasa) untuk memberi keterangan, saya bersedia untuk bekerjasama sepenuhnya,” katanya.

Dalam prosiding mahkamah baru-baru ini, nama Khairy disebut sebagai antara penerima dana daripada syarikat pembekal perkhidmatan visa luar negara (VLN), UKSB.

Menurut bekas pengurus pentadbiran UKSB, David Tan Siong Sun, lejar itu merekodkan pembayaran antara 2014 hingga 2018 kepada beberapa ahli politik yang identiti mereka dirahsiakan melalui nama kod.

Ketika itu, Khairy adalah menteri yang bertanggungjawab terhadap portfolio belia dan sukan. Dia juga adalah ketua Pemuda Umno.

Nama lain yang disebut adalah bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Selain itu, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan dan Datuk Seri Anifah Aman turut disebut dalam buku lejar UKSB. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights