Satelit MEASAT-3d bakal perkukuh capaian internet luar bandar

Satelit MEASAT-3d bakal perkukuh capaian internet luar bandar

SATELIT MEASAT-3d yang akan dilancar Khamis ini, bakal memperkukuhkan kedudukan Malaysia dalam era digital berteraskan teknologi talian tetap dan mudah alih tanpa meminggirkan mana-mana kelompok rakyat di negara ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, berkata MEASAT-3d yang dilancarkan jam 6.03 petang (Khamis, jam 5.03 pagi waktu Malaysia) di French Guiana, Amerika Selatan itu, akan menambah baik perkhidmatan Internet dan kadar ketersambungan capaian internet terutamanya di kawasan luar bandar.

Beliau berkata, dengan pelancaran satelit ini, beberapa perkhidmatan baharu melalui satelit berkenaan dijangka dapat ditawarkan seawal Ogos 2022.

“Satelit MEASAT-3d merupakan jenis Geostationary Equatorial Orbit atau GEO. Ia mempunyai tapak liputan yang luas dan berkemampuan untuk menyediakan perkhidmatan jalur lebar yang pantas dan menyokong aliran tinggi data, dikenali sebagai High Throughput Satellite (HTS).

“HTS adalah antara perkhidmatan penting dalam penyediaan perkhidmatan jalur lebar tinggi terutamanya di kawasan pedalaman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, internet kelajuan tinggi akan ditambah baik daripada kelajuan muat turun 30 megabit sesaat (Mbps) pada masa ini kepada 100 Mbps, yang membolehkan penstriman kandungan tinggi data seperti video 4K/8K.

Katanya, selain daripada itu, penyedia perkhidmatan telekomunikasi lain juga boleh menggunakan satelit ini untuk menawarkan perkhidmatan mereka.

“Ini termasuk data, suara dan video kepada tiga hingga lima peratus populasi yang belum lagi diliputi oleh sambungan fiber atau jalur lebar tanpa wayar, seperti yang ditawarkan oleh MEASAT melalui perkhidmatan jalur lebar satelit CONNECTme NOW,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Malaysia beraspirasi untuk menjadi sebuah negara berteknologi tinggi dan ia terbukti dengan pelancaran tujuh satelit sejak satelit pertama MEASAT 1 dilancarkan pada tahun 1996.

Katanya, ia merangkumi satelit komunikasi yang menawarkan perkhidmatan penyiaran dan telekomunikasi, satelit penderiaan jauh serta aplikasi satelit-satelit lain melibatkan sektor penyelidikan dan pembangunan industri teknologi angkasa.

“MEASAT-3d merupakan satelit kelapan yang akan dilancarkan bertujuan meningkatkan perkhidmatan perhubungan kepada Malaysia dan negara-negara serantau.

“MEASAT-3d dapat merapatkan jurang ketersambungan digital yang lebih baik untuk semua rakyat, dengan mengembangkan liputan Internet berkelajuan tinggi di kawasan pedalaman.

Justeru, katanya, melalui akses internet yang stabil dan pantas, Keluarga Malaysia boleh memperoleh pelbagai manfaat sosioekonomi seperti penyertaan dalam aktiviti e-Dagang dan pembelajaran digital. – Malaysiapost

Komen