Saya tak rasuah, saya tak terima apa-apa – Muhyiddin

Saya tak rasuah, saya tak terima apa-apa – Muhyiddin

TAN Sri Muhyiddin Yassin menafikan beliau menerima dana daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), sekali gus sedia disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) pada bila-bila masa.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau tidak mengambil peduli dakwaan UKSB itu kerana yakin dirinya tidak mengamal aktiviti rasuah.

“Saya tak rasuah, saya tak terima apa-apa. Orang lain nak kata itu hal dia. Kalau nak sahkan benar tak benar saya dah bagitahu saya bersedia disiasat.

“Sekarang boleh, esok boleh. Nak buat laporan polis banyak-banyak buatlah. Biar polis siasat,” katanya dalam satu program soal jawab berkaitan Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang disiarkan secara langsung di Facebook, hari ini.

Ditanya adakah pihak berkuasa menghubungi atau menemui beliau, Pengerusi MPN itu berkata, setakat ini beliau telah mengeluarkan kenyataan menafikan perkara berkenaan

“Saya dah buat kenyataan, takkan saya nak paksa, ‘datanglah!’.

“Setakat ini tak ada. Saya cakap benar, tak bohong… Orang nak komen itu masing-masing punya komen,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menasihatkan Datuk Seri Najib Razak agar menjaga tepi kain sendiri dan tidak mempertikaikan tarikh beliau menjalani rawatan di luar negara.

“Dia bukan hakim. Elok dia urus dia punya masalah. Saya dah selesai buat satu kenyataan dan saya tak mahu tokok lagi dalam majlis ini.

“Saya punya kenyataan begitu dan saya sebutkan juga contoh satu dua tarikh yang disebutkan oleh pihak, konon diberi sogokan. Saya kata waktu itu saya tak ada di sini.

“Jadi saya minta tak perlu dibahas lagi. Saya pun dah buat kenyataan yang agak jelas dan dah ada orang buat laporan polis. Biar polis siasat. Kalau SPRM nak panggil saya pun boleh panggil, saya tak takut. Kerana saya cakap yang benar,” katanya.

Minggu lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam diberitahu Muhyiddin yang menjadi Menteri Dalam Negeri ketika pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menerima sumbangan dana politik RM1.3 juta daripada UKSB pada 2018. – Malaysiapost

Komen