Seruan penyatuan ummah bukan demi survival politik PAS

SERUAN penyatuan ummah bukan hanya tentang survival politik PAS, sebaliknya kelangsungan umat Islam yang menjadi keutamaan.

Perkara itu ditegaskan Ketua Penerangan PAS Pusat, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin yang menyifatkan seruan penyatuan itu bukan pertama kali dilaungkan PAS.

“Apabila kita mengajak kepada perpaduan umat Islam, bukan bererti kita mengajak kepada permusuhan terhadap orang bukan Islam.

“Bahkan kita amat mengalu-alukan parti politik bukan Islam dan juga kumpulan bukan Islam yang tidak ekstrem untuk bersama menjayakan usaha penyatuan ini,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Khairil Nizam menambah, perpecahan hanya akan menguntungkan Pakatan Harapan (PH) yang terbukti telah gagal dalam 22 bulan pemerintahan mereka.

“Kegagalan ini telah cukup untuk menjadi bukti kenapa kita tidak boleh mengulang kesilapan dalam PRU14.

“Prinsip kita dalam seruan penyatuan ummah ini adalah jelas dan kita tidak akan berhenti dalam usaha murni untuk menjayakan agenda besar ini,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang menyatakan, gesaan Umno supaya meninggalkan Bersatu jika mahu meneruskan Muafakat Nasional (MN) sukar untuk diterima oleh PAS.

Katanya, PAS berpegang kepada prinsip penyatuan ummah yang melibatkan semua parti-parti utama untuk kepentingan negara.

Mohd Amar juga menegaskan PAS menolak cadangan untuk bergabung dalam ‘khemah besar’, sebaliknya mahu memberi tumpuan kepada agenda penyatuan ummah bagi menghadapi PRU15. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights